Platform yang diperkenalkan ialah Dashboard AI, Portal Rasmi Kerajaan Negeri yang dinaik taraf dengan ciri Chatbot AI serta Sistem Arkib dan Rekod Elektronik Terengganu (Terengganu Electronic Records and Archive - TERA).
Setiausaha Kerajaan Terengganu, Datuk Mohd Azmi Mohamad Daham berkata, ketiga-tiga platform itu diperkenalkan sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan negeri untuk memodenkan sistem pentadbiran dan meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan awam.
Beliau berkata, penggunaan teknologi digital membolehkan urusan pentadbiran dijalankan dengan lebih pantas, tersusun dan berkesan, sekali gus memberi manfaat kepada penjawat awam serta orang ramai.
Dashboard AI bantu keputusan lebih pantas
Menurut Mohd Azmi, Dashboard AI berfungsi menghimpunkan data daripada pelbagai jabatan dan agensi kerajaan negeri dalam satu platform bagi memudahkan pemantauan oleh pihak pengurusan.
Katanya, maklumat yang dikumpulkan itu membolehkan ketua jabatan dan pengurusan tertinggi membuat penilaian serta keputusan dengan lebih cepat berdasarkan data yang terkini.
Dalam pada itu, Portal Rasmi Kerajaan Negeri yang diberi wajah baharu turut dilengkapi Chatbot AI bagi membantu orang ramai mendapatkan maklumat berkaitan perkhidmatan kerajaan dengan lebih mudah dan pantas.
Beliau berkata, penggunaan chatbot berasaskan kecerdasan buatan (AI) itu dijangka dapat mempercepatkan proses menjawab pertanyaan pengguna, selain memudahkan akses kepada maklumat yang diperlukan pada bila-bila masa.
TERA digitalkan pengurusan rekod kerajaan
Selain itu, Mohd Azmi berkata, sistem TERA dibangunkan bagi mengurus dokumen dan rekod kerajaan secara elektronik supaya urusan pentadbiran dapat dilaksanakan dengan lebih teratur dan sistematik.
Menurut beliau, penggunaan sistem itu turut membantu pegawai serta kakitangan mengendalikan dokumen dengan lebih cekap, sekali gus mempercepatkan tindakan terhadap sesuatu urusan.
Beliau berkata, TERA merupakan hasil inovasi daripada Pertandingan Kreativiti dan Inovasi 2025 serta pernah menerima Anugerah Khas Juri pada Majlis Anugerah Persada Inovasi Negeri Terengganu 2025. - DagangNews.com

0 Comments