Menang dulu sebanyak mungkin kerusi DUN, baru fikir jawatan MB – Samsuri


PORT DICKSON – Kerjasama Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan Ke-15 tidak pernah membincangkan parti mana yang akan menggalas jawatan Menteri Besar di negeri itu.

Malah Pengerusi PN, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhar berkata, dakwaan akan diwujudkan jawatan timbalan menteri besar juga tidak dibangkitkan antara kedua parti gabungan itu.

Jelas beliau, PN dan BN perlu memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sebanyak mungkin untuk mentadbir Negeri Sembilan sebelum memikirkan apa jua jawatan tertinggi dalam kerajaan negeri.

“Kita tidak ada pembincangan ke arah itu lagi, yang kita fokus sekarang ini ialah mendapat kerusi sebanyak mungkin di Negeri Sembilan, jadi tidak timbul termasuk siapa Menteri Besar siapa Timbalan Menteri Besar belum dibuat keputusan lagi.

“Kita tengok dulu, mana tahu siapa yang menang paling banyak kerusi,” katanya.

Naib Presiden Pas itu ditemui MalaysiaGazette ketika turun berkempen membantu calon PN Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang, Abdul Fattah Zakaria di pasar malam Kampung Bandar Baru Sunggala di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas spekulasi di media sosial yang meramalkan calon Menteri Besar daripada BN manakala jawatan timbalannya akan diwujudkan untuk diberikan kepada Pas sekiranya BN dan PN berjaya memenangi PRN pada 1 Ogos ini.

Sementara itu, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, parti itu tidak perlu mengumumkan poster boy atau calon Menteri Besar dalam PRN Negeri Sembilan.

Beliau yang juga Presiden UMNO berkata, terlalu ramai calon Menteri Besar daripada BN dan satunya daripadanya adalah Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias.

Beliau berkata, Jalaluddin adalah calon nombor satu Menteri Besar Negeri Sembilan namun ia bergantung kepada perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan. – MalaysiaGazette

Post a Comment

0 Comments