Pilihan Raya Negeri Negeri Sembilan telah selesai. Keputusan telah pun dibuat oleh rakyat.
Bagi pihak Perikatan Nasional, saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada seluruh calon Perikatan Nasional dan Barisan Nasional atas kemenangan yang membolehkan gabungan ini memperoleh majoriti dua pertiga seterusnya membentuk Kerajaan Negeri Sembilan.
Saya juga ingin merakamkan penghargaan yang setulusnya kepada semua calon yang telah menawarkan diri untuk berkhidmat, seluruh jentera parti di setiap peringkat, para petugas, sukarelawan, penyokong serta semua pengundi yang telah melaksanakan tanggungjawab masing-masing dengan penuh dedikasi.
Saya turut menghargai semangat muafakat yang telah dizahirkan antara Perikatan Nasional dan Barisan Nasional. Kesepakatan yang dibina ini lahir daripada hasrat yang sama, iaitu memastikan Negeri Sembilan dipimpin dengan lebih baik demi kesejahteraan rakyat.
Kini tiba masanya untuk kita meninggalkan segala perbezaan yang mewarnai sepanjang kempen dan memberi sepenuh tumpuan kepada amanah yang lebih besar. Negeri Sembilan adalah milik seluruh rakyat.
Semoga Allah SWT mengurniakan petunjuk, kekuatan dan kebijaksanaan kepada semua yang diberikan amanah untuk memimpin, agar setiap usaha yang dilakukan membawa manfaat kepada rakyat serta keberkatan kepada Negeri Sembilan.

0 Comments