Semua kita sedia maklum bahawa Kemaman adalah merupakan sebuah daerah, satu parlimen yang mempunyai kedudukan yang sangat penting dalam perjalanan politik PAS di Negeri Terengganu dan dalam negara kita ini.
Kemaman bukan sekadar sebuah kawasan yang perlu kita pertahankan bersama dengan empat Dewan Undangan Negeri yang ada di Daerah Kemaman sebagaimana yang disebut oleh Pengarah Jabatan Pilihan Raya tadi untuk mengekalkan empat plus 1 kosong dalam pilihan raya yang akan datang.
Kemaman adalah pintu ke arah perjalanan PAS yang lebih jauh di hadapan bersama dengan muafakat dalam Perikatan Nasional di peringkat nasional.
Walaupun pelbagai usaha telah dilakukan dan sedang dilakukan oleh pihak-pihak yang tertentu untuk cuba menggagalkan Perikatan Nasional dan dalam masa yang sama menggagalkan muafakat politik yang dibentuk oleh PAS bersama dengan rakan muafakat yang sangat dinamik yang kita jumpa suasana di Johor yang tak sama dengan suasana di Negeri Sembilan.
Ramai duk tanya saya, "Bagaimana pula dengan suasana di negeri Melaka?" Jadi panjang lagi cerita. Melaka belum bubar lagi. Sabar, tunggu. Koho-koho insya-Allah. Kemaman juga adalah kunci kepada tanggungjawab yang lebih besar kepada PAS bersama dengan rakan muafakat untuk membawa kita ke Putrajaya. Insya-Allah.
Hadirin dan hadirat, muslimin dan muslimat sekalian,
Kemenangan yang pernah kita capai secara total di Kemaman ini, empat DUN dan satu parlimen tidak boleh menjadikan kita merasa selesa. Dalam politik, kemenangan semalam, kelmarin tidak bermakna dan tidak menjamin kemenangan pada hari besok.
Setiap kali datang pilihan raya tidak dapat tidak kita mesti kembali kepada rakyat untuk mendapat keputusan testimoni daripada rakyat. Kita mesti kembali kepada gerak kerja yang telah berpuluh tahun kita laksanakan, mengetuk pintu rumah mereka, mendengar masalah rakyat dan meyakinkan melalui gerak kerja kita serta akhlak kita.
Sebab itulah kita melancarkan jentera kita lebih awal walaupun gendang tiupan bila pilihan raya belum lagi kedengaran di peringkat pusat. Dan tentunya kita tak tunggu dibubarkan parlimen baru kita hendak bergerak mencari pengundi. Jangan tunggu bendera dipasang baru hendak masuk kampung. Insha-Allah keadaan yang sedemikian tidak berlaku kepada kita dalam Parti Islam Se-Malaysia PAS.
Hadirin dan hadirat sekalian,
Pilihan raya sebenarnya bermula daripada sekarang. Mulai kelmarin, kita, saya mahu dan seluruh saf kepimpinan mahu jentera kita bergerak dengan lebih tersusun. Kalau sebelum ini kita dah rasa tersusun, kita susun dengan lebih baik lagi, Insha-Allah.
Sebagaimana gerak kerja kita yang lepas, kita kenal pasti setiap lokaliti, fahami setiap kelompok pengundi, dekati anak muda ataupun FTV, First Time Voters yang bilangannya berjumlah, bertambah jumlahnya daripada bulan ke bulan.
Dekati wanita, dekati pekerja industri, peniaga kecil, para nelayan, petani, penjawat awam dan golongan profesional.
Yang sudah bersama kita, kita terus pelihara. Yang masih ragu-ragu kita dekati dan berikan keyakinan kepada mereka. Yang tidak bersama kita tentunya ada. Jangan musuhi mereka. Tunjukkan akhlak kita yang terbaik kepada mereka.
Kerana tugas politik kita bukan sekadar mencari orang yang sudah bersetuju dengan kita. Tugas kita juga ialah meyakinkan mereka yang belum yakin dengan kita sehingga mereka belum lagi mengundi kita.
Saya juga ingin mengingatkan seluruh jentera jangan sekali-kali memandang rendah kepada jentera pihak lawan. Walaupun mungkin pada hari ini, pada saat ini kita belum nampak lagi kelibat mereka. Kita perhatikan daripada Daerah Besut sampai ke Kemaman. Kelibat mereka dalam bentuk gerak kerja kepartian masih lagi belum nampak tetapi mereka telah turun bergerak dalam bentuk yang lain membawa nama-nama cadangan bersama dengan individu-individu yang dijangka menjadi calon dalam pilihan raya.
Walaupun mungkin bagi mereka kitar semula. Tidak ada wajah baru, tidak ada suara baru, jauh daripada anak-anak muda, tetapi dengan keadaan keberadaan mereka dalam kerajaan di peringkat persekutuan kita sekali-kali jangan memandang rendah keupayaan pihak lawan.
Tidak satu undi pun yang ada di kalangan para pengundi yang menjadi hak kekal kepada mana-mana parti. Suasana puluhan tahun dahulu dalam pilihan raya masing-masing pasti ada pengundi tegar tetapi peratusan yang bukan menjadi pengundi tegar ini dari tahun ke tahun makin bertambah. Terutama dengan kehadiran FTV atau First Time Voters. Kerana itu kita kena beringat, teruskan gerak kerja kita.
Setiap undi mesti kita usahakan. Setiap hati mesti kita dekati dan setiap kepercayaan mesti kita peliharakan. Dan janganlah kita habiskan masa dan tenaga kita hanya dengan hanya kita menyerang pihak lawan. Memang hari ke hari kita sedar bahawa lawan serang kita hari-hari.
Kepimpinan di peringkat pusat, kepimpinan di peringkat negeri, peringkat kawasan tentulah berdepan dengan serangan hari-hari. Tak apa, itu kerja mereka. Kita terus buat kerja. Lebih penting daripada itu ialah kita menerangkan kepada rakyat apa yang kita perjuangkan, apa yang telah kita lakukan dan apa yang mahu kita lakukan untuk masa depan mereka.
Dalam menghadapi pilihan raya ini, saya meminta tiga perkara daripada seluruh jentera PAS di Kemaman. Pertama, jagalah kesatuan kita. Apabila keputusan parti dibuat, hendaklah kita berdiri sebagai suatu saf.
Kedua, jaga disiplin kita. Setiap arahan mesti sampai sehingga ke peringkat UDM dan cawangan. Data mesti tepat. Kalau kita suruh buat kerja menentukan corak pattern pengundi dalam bentuk culaan dan sebagainya, kita buat sungguh-sungguh. Bukan sambil duduk menyenggeng di atas wakaf. Kita tentu orang ni B, orang ni, orang ni, dok. Kita buat secara bersungguh-sungguh. Jangan sekadarkan sekadar melaporkan program yang banyak tetapi kita tidak mengetahui sama ada sokongan rakyat bertambah ataupun berkurang.
Dan yang ketiga, jaga akhlak kita. Kita boleh berbeza dengan lawan politik kita tetapi jangan hilang adab. Soal mereka pihak lawan hilang adab, itu soal mereka. Dan biarlah rakyat menjadi saksi di atas jiwa lemah mereka yang menyerang pihak lawan secara tidak adil itu. Jangan kita wujudkan fitnah. Jangan menghina dan jangan jadikan media sosial tempat kita merosakkan imej perjuangan kita sendiri.
Ada orang bertanya, "Bila pula pilihan raya?" Apa yang saya sebut tadi tak menarik. Bila sebut hak pilihan raya bila, ah pakat celik mata belaka dah. Pilihan raya boleh berlaku bila-bila masa. Itu ayat umum yang mana-mana pimpinan akan sebut. Yang paling terdekat dan paling munasabah ialah pilihan raya Melaka.
Bila pilihan raya Melaka? Tidak dapat tidak pilihan pilihan raya Melaka mesti dilaksanakan sebelum daripada 27 hari bulan Disember tahun 2026 kerana itu adalah tamat tempoh Dewan Undangan Negeri DUN Melaka. Kalau tidak dibubarkan sehingga tarikh 26 Disember, 27 Disember akan terbubar dengan sendiri. Bila terbubar dengan sendiri, pilihan raya mesti diadakan dalam tempoh 60 hari.
Kalau kita teliti seluruh timeline yang ada dalam kalendar, tentulah kalau Melaka, kerajaan Melaka atau Ketua Menteri ingin membubarkan Dewan Undangan Negeri, dia akan cari tarikh yang paling untung kepada mereka. Dia tak, dia tak bubar dalam saja-saja bubar. Bangun pagi, malam mimpi esok bubar. Dok, dok gitu. Dia mesti buat perkiraan.
Dan perkiraan yang paling munasabah ialah mereka akan membubarkan selepas daripada tarikh 14 dan 15 hari bulan Oktober 2026. Kenapa 14, 15 Oktober 2026? Kerana 14 dan 15 Oktober tahun 2026 adalah mesyuarat Majlis Raja-Raja yang diadakan di Melaka, yang sepanjang saya jadi Menteri Besar daripada bulan Mei tahun 2018 sampai sekarang tidak pernah sekali pun Mesyuarat Raja-Raja diadakan di luar daripada Istana Negara. Kali pertama mesyuarat majlis raja-raja akan diadakan di Melaka iaitu pada 14 dan 15 hari bulan Oktober.
Tentulah yang jadi Ketua Menteri sekarang ini, dia nak majlis mesyuarat itu diadakan dalam keadaan dia masih lagi sebagai Ketua Menteri. Kalau bubar sebelum daripada 14 atau 15 hari bulan Oktober belum tentu dia masih kekal sebagai Ketua Menteri.
Kalau kita tengok pattern dalam keputusan pilihan raya parlimen sangat berbeza dengan pattern pilihan raya Dewan Undangan Negeri yang memberi undian besar kepada ketua menteri yang ada sekarang ini.
Pattern pilihan raya parlimen yang diadakan selepas daripada pilihan raya negeri dalam kes Melaka sangat berbeza dan sekiranya pattern itu berlaku, yang jadi ketua menteri sekarang ini tak akan jadi ketua menteri lagi dah.
Dia akan ambil kesempatan pada bulan Oktober semua pihak tertumpu ke negeri Melaka. Pada 12 hari bulan Oktober diadakan mesyuarat Perdana Menteri bersama dengan menteri kabinet dan semua Ketua Menteri dan menteri-menteri besar di negeri Melaka. Semua pergi sana. Mesyuarat majlis raja-raja ditimbulkan vibe yang positif di kalangan rakyat dengan diadakan pelbagai program-program yang bersangkutan. Sudah pada itu bubar. Ada mungkin tak gitu?
Dan sekiranya dibubarkan pada waktu itu, kita menjangkakan bahawa sama ada awal November ataupun pertengahan November adalah tarikh pilihan raya. Itu pun kalau Melaka saja. Kalau keadaan yang sangat terdesak kepada kerajaan yang ada di peringkat pusat, mungkin akan berlaku pembubaran serentak pada waktu itu walaupun pelbagai usaha telah dan sedang dilakukan oleh pihak Putrajaya untuk kekal sehingga tamat tempoh pemerintahan pada tahun hadapan.
Hadirin hadirat muslimin muslimat sekalian,
Perjuangan kita ini adalah kerana amanah yang jauh lebih besar iaitu amanah untuk membawa politik yang berpaksikan prinsip kebajikan rakyat dan keredaan Allah SWT.
Malam ini kita lancarkan jentera, esok kita turun bekerja. Dari Kijal ke Kemasik, dari Cukai ke Air Putih. dari kampung ke taman, dari rumah ke rumah, kita gerakkan seluruh kekuatan yang ada. Insha-Allah apabila jentera kita bersatu, apabila kerja kita tersusun, apabila rakyat merasakan khidmat kita dan apabila perjuangan ini disandarkan kepada Allah SWT, kita sama-sama hadap pilihan raya akan datang ini dengan penuh keyakinan dan tawakal kepada Allah SWT.
Hadirin hadirat sekalian,
Akhirnya dengan lafaz bismillahirrahmanirrahim, saya dengan ini melancarkan Jentera Pilihan Raya PAS Kawasan Kemaman. Sekian.
0 Comments