KUALA NERUS: Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar masih berteka-teki mengenai spekulasi beliau bakal dipilih sebagai calon pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman, 2 Disember ini.
Ahmad Samsuri berkata, setakat ini, senarai calon masih belum dimuktamadkan oleh pucuk pimpinan tertinggi parti.
“Saya tak ada komen bab tu. Saya tak boleh kata ya tak boleh kata tidak. Jadi tak ada komenlah sebab keputusan tidak dibuat lagi oleh parti.
“Kalau saya komen kiri atau kanan, editor tuan-tuan akan buat tajuk yang sensasi. Jadi saya tak nak komen lah,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis penutup dan penyampaian hadiah Kejohanan Lawn Bowls Kebangsaan di Kompleks Sukan Negeri Terengganu di sini semalam.
Ditanya bilakah nama calon akan diumumkan, Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu berkata, tiada sebarang ketetapan telah diambil setakat ini.
“Saya pun tak pasti kerana mesyuarat pusat yang pertama adalah pada Isnin ini, itu pun mesyuarat pertama selepas muktamar tentang pelantikan pesuruhjaya negeri-negeri dan Ahli Jawatankuasa (AJK) Pusat.
“Ia (mesyuarat pada Isnin juga) adalah untuk mengesahkan lantikan jawatan-jawatan lain. Jadi saya tak pasti ada atau tidak ada agenda (membincangkan tentang PRK Parlimen Kemaman) pada Isnin ini.
“Apapun kalau tidak minggu ni, minggu depan atau minggu berikutnya akan diumumkan oleh Presiden parti (Tan Sri Abdul Hadi Awang) ataupun Setiausaha Agung. Keputusan belum dibuat lagi untuk siapa yang umum hatta memilih calon pun belum selesai lagi,” katanya.
Baru-baru ini Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK Parlimen Kemaman pada 2 Disember manakala tarikh penamaan calon pula pada 18 November ini.
Undi awal pula ditetapkan pada 28 November.
PRK Parlimen Kemaman diadakan selepas Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 September lalu membatalkan kemenangan Che Alias Hamid yang mewakili Pas setelah pihak pempetisyen berjaya membuktikan perbuatan rasuah berlaku dengan tujuan mempengaruhi pengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
0 Comments