PRK Kemaman: Ahmad Samsuri pilih 'kunci mulut'

KUALA TERENGGANU: Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar memilih untuk 'kunci mulut' berhubung desas-desus yang mengaitkan namanya sebagai calon Perikatan Nasional (PN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK), Kemaman pada 2 Disember ini.

Malah, beliau akui mesyuarat berhubung pemilihan nama calon PRK itu belum lagi diadakan di peringkat parti sehingga kini.

Bagaimanapun, jelasnya, mesyuarat pusat pertama akan berlangsung pada Isnin ini selepas selesai Muktamar PAS ke-69 yang berlangsung di Ideal Convention Centre (IDCC), Shah Alam baru-baru ini.

"Saya tak ada komen bab tu (desas-desus bakal dicalonkan PRK Kemaman), saya tidak boleh kata ya dan tidak boleh kata tidak sebab keputusan tidak dibuat lagi oleh parti.

"Lagipun keputusan (calon bertanding) tidak pasti lagi, mesyuarat pusat yang pertama adalah pada Isnin ini, itupun mesyuarat pertama selepas muktamar baru-baru ini mengenai pelantikan pesuruhjaya negeri-negeri, ahli jawatankuasa pusat lantikan dan jawatan-jawatan lain.

"Namun saya tidak pastilah ada atau tidak agenda itu (pengumuman calon PRK Kemaman) pada hari tersebut. Jika tidak minggu ini, minggu depan atau minggu yang berikutnya akan diumumkan oleh presiden ataupun setiausaha agung parti.

"Tapi keputusan belum dibuat lagi siapa yang akan mengumumkan nama calon itu, hatta memilih calon pun belum selesai lagi," katanya ditemui selepas Majlis Penyampaian Hadiah Kejohanan Boling Padang Kebangsaan di Kompleks Sukan Negeri Terengganu, petang semalam yang turut dihadiri Presiden Persekutuan Lawn Bowls Malaysia, Datuk Awalan Abdul Aziz dan Timbalannya, Datuk Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak.

Ketika ditanya jika nama beliau dipilih menjadi calon pada PRK itu nanti, Ahmad Samsuri enggan menjawab persoalan itu sebaliknya mengambil pendekatan selamat iaitu turut 'mengunci mulut'.

"Andai kata (dipilih sebagai calon) tu payah saya nak jawab, jadi lebih baik saya tidak jawab, lagipun saya tidak mahu memberikan gambaran berkaitan calon, jika tidak media akan buat tajuk yang sensasi," jelasnya sambil berseloroh.

Terdahulu nama Ahmad Samsuri yang juga Naib Presiden PAS dan dua lagi calon iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai, Hanafiah Mat dan penyandang, Che Alias Hamid juga dari PAS, disebut-sebut bakal bertanding untuk merebut kerusi Parlimen itu.

Pada PRU15, Che Alias memenangi Parlimen Kemaman dengan majoriti 27,179 undi selepas mendapat 65,714 undi, menewaskan tiga calon lain termasuk bekas Menteri Besar yang mewakili Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Said.

Dua lagi calon iaitu Rosli Ab Ghani (Pejuang) mendapat 506 undi manakala wakil Pakatan Harapan (PH), Hasuni Sudin memperoleh 8,340. PRK Kemaman bakal diadakan selepas Mahkamah Pilihan Raya Terengganu membatalkan kemenangan Che Alias pada 26 September lalu.

Post a Comment

0 Comments