KUALA TERENGGANU, 4 Oktober - Berita PAS-PN akan meletakkan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon parti pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman nanti hanyalah khabar angin.
Menteri Besar Terengganu yang juga Naib Presiden PAS, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, setakat ini PAS belum memutuskan lagi calon yang bakal bertanding di parlimen berkenaan.
"Saya tidak dengar ura-ura, saya hanya terbaca dalam surat khabar dan media sosial sahaja (sedangkan) tiada perbincangan dan kami belum 'sit down' di kalangan pemimpin tertinggi untuk berbincang bagi menghadapi PRK ini termasuk bagi menentukan calon.
"Juga tidak dibincangkan lagi negeri mana yang akan membantu (kempen) di peti-peti undi di Parlimen Kemaman nanti," ujarnya ketika ditemui pemberita ketika Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-15 di sini, hari ini.
Mengulas lanjut katanya, sebelum adanya sebarang keputusan maka spekulasi akan terus disebarkan dan segala kemungkinan boleh berlaku.
"Selagi tidak dinamakan calon jadi ia terbuka.
"Namun setakat ini kita akan mengekalkan kerusi tradisi, calon adalah daripada PAS," ujarnya.
Menjawab mengenai keputusan PAS untuk tidak melakukan rayuan sehingga timbul pelbagai tohmahan dan tanggapan daripada segelintir pihak, katanya perkara itu tidak boleh dihalang.
"KIta tidak dapat menghalang mana-mana individu membuat tanggapan atau tohmahan, situasi yang dihadapi sekarang sama dengan Kuala Terengganu, kita ambil langkah taktikal pada waktu itu dengan bersedia menghadapi PRK.
"Cuma situasinnya berbeza kerana PRK Kuala Terengganu sama dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan, tetapi fakta kes itu tetap sama jadi tidak adil kalau Kuala Terengganu kita tidak rayu dan tiba-tiba di Kemaman kita membuat rayuan.
"Apa yang paling penting kita hadap pilihan raya ini dengan segera supaya masyarakat Kemaman tidak tertunggu-tunggu siapa yang mewakili mereka kerana proses rayuan mengambil masa yang lama...jika dibiarkan sehingga bulan Januari akan timbul cerita lain di saat menghadapi banjir dan sebagainya," ujarnya.
0 Comments