SPR disaran tidak buka pusat pengundian di PPS

KUALA NERUS; Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) disaran tidak membuka pusat pengundian di sekolah-sekolah yang menjadi pusat penempatan sementara (PPS) mangsa banjir di daerah itu pada Pilihan Raya Kecil ( PRK) Parlimen Kemaman 2 Disember depan.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kerajaan negeri percaya SPR telah mengenal pasti pusat-pusat pengundian yang selamat dan tidak terlibat banjir.

Menurutnya, langkah tersebut diambil untuk menjamin kelancaran pada hari pengundian nanti sekiranya berlaku banjir.

“Saya percaya SPR telah mempunyai kaedah untuk menangani (pusat mengundi) sekiranya berlaku banjir.

“Walaupun mungkin ada kekangan dan sebagainya, tapi saya saya rasa semua telah diambil kira oleh SPR untuk menguruskan perkara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Belia Negara Peringkat Negeri Terengganu 2023 di sini, hari ini.

Pada masa sama, Ahmad Samsuri memberitahu, pihaknya juga bersedia menyediakan bantuan kepada pengundi untuk keluar mengundi sekiranya berlaku banjir pada hari berkenaan.

“Kemudahan-kemudahan seperti bot untuk bawa mangsa banjir mengundi dalam tindakan pengurusan dan kita telah bersedia,” ujarnya.

Pada 17 Oktober lalu, SPR menetapkan Pilihan PRK Parlimen Kemaman pada 2 Disember depan.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata, hari penamaan calon pula ditetapkan pada 18 November, manakala hari pengundian awal (28 November).

Jumlah pusat mengundi pada PRK itu pula sebanyak 53 buah dengan 248 tempat mengundi dan saluran.

Pada 26 September lalu, Mahkamah Pilihan Raya Terengganu membatalkan kemenangan Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid yang mewakili Pas setelah pihak pempetisyen berjaya membuktikan perbuatan rasuah telah berlaku dengan tujuan mempengaruhi pengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15). 

Post a Comment

0 Comments