PRK Kemaman: Ahmad Samsuri 'kunci mulut' desas-desus nama dicalonkan

 

KUALA NERUS - Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar enggan mengulas lanjut berhubung desas-desus mengatakan beliau bakal menjadi calon pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman pada 2 Disember depan.

Menurutnya, setakat ini belum ada keputusan dibuat berkenaan calon yang akan diangkat pada pilihan raya berkenaan.

"Saya tak ada komen bab (desas-desus) tu. Saya tak boleh kata ya, tak boleh kata tidak. Jadi tiada komenlah sebab keputusan tidak dibuat lagi oleh parti.

"Kalau saya komen kiri atau kanan, editor tuan-tuan akan buat tajuk yang sensasi. Jadi saya tak nak komen lah," katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyampaian Hadiah Kejohanan Boling Padang Kebangsaan di Kompleks Sukan Negeri Terengganu, di sini pada petang Jumaat.

Bagaimanapun, jelas Ahmad Samsuri, mesyuarat pertama Pas Pusat akan berlangsung pada Isnin ini selepas selesai Muktamar Pas ke-69 yang berlangsung di Ideal Convention Centre (IDCC), Shah Alam baru-baru ini.

"Ia (mesyuarat) untuk mengesahkan lantikan jawatan-jawatan lainlah. Jadi saya tak pasti ada atau tidak ada agenda (membincangkan tentang PRK Parlimen Kemaman) pada hari Isnin ini.

"Apapun kalau tidak minggu ni, minggu depan atau minggu berikutnya akan diumumkan oleh Presiden parti atau Setiausaha Agung. Keputusan belum dibuat lagi untuk siapa yang umum hatta memilih calon pun belum selesai lagi," katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Samsuri turut 'mengunci mulut' ketika ditanya sekiranya nama beliau dipilih menjadi calon pada PRK itu nanti.

"Andai kata (dipilih sebagai calon) tu payah saya nak jawab, jadi lebih baik saya tidak jawab, lagipun saya tidak mahu memberikan gambaran berkaitan calon, jika tidak media akan buat tajuk yang sensasi," jelasnya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan tarikh penamaan calon bagi PRK Kemaman pada 18 November ini, hari pengundian (28 November) dan hari mengundi pada 2 Disember.

Pada 26 September lalu Mahkamah Pilihan Raya Terengganu membatalkan kemenangan Che Alias Hamid yang mewakili Perikatan Nasional (PN) setelah pihak pempetisyen iaitu Wan Mohamad Hisham Wan Abdul Jalil (pengundi) berjaya membuktikan perbuatan rasuah telah berlaku dengan tujuan mempengaruhi pengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

Rentetan itu, Pas pada 3 Oktober lalu memutuskan untuk tidak memfailkan sebarang rayuan terhadap keputusan petisyen berkenaan.


Post a Comment

0 Comments