Kuala Terengganu: Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mengambil pendekatan 'kunci mulut' berhubung desas-desus yang mengaitkan namanya sebagai calon Perikatan Nasional (PN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman pada 2 Disember ini.
Malah beliau akui mesyuarat berhubung pemilihan nama calon PRK itu belum lagi diadakan di peringkat parti sehingga kini.
Bagaimanapun jelasnya, mesyuarat pusat pertama akan berlangsung pada Isnin ini selepas selesai Muktamar PAS ke-69 yang berlangsung di Ideal Convention Centre (IDCC), Shah Alam baru-baru ini.
"Saya tak ada komen bab tu (desas-desus bakal dicalonkan PRK Kemaman), saya tidak boleh kata ya dan tidak boleh kata tidak sebab keputusan tidak dibuat lagi oleh parti.
"Jadi jika saya komen kiri atau kanan, editor tuan-tuan akan buat tajuk yang sensasi, jadi saya tidak mahu komenlah.
"Lagipun keputusan (calon bertanding) tidak pasti lagi, mesyuarat pusat yang pertama adalah pada hari Isnin ini, itupun mesyuarat pertama selepas muktamar baru-baru ini tentang pelantikan pesuruhjaya negeri-negeri, ahli jawatankuasa pusat lantikan dan jawatan-jawatan lain.
"Namun saya tidak pastilah ada atau tidak agenda itu (pengumuman tentang calon PRK Kemaman) pada hari tersebut. Jika tidak minggu ini, minggu depan atau minggu yang berikutnya akan diumumkan oleh presiden parti ataupun setiausaha agung.
"Tapi keputusan belum dibuat lagi siapa yang akan mengumumkan nama calon itu, hatta memilih calon pun belum selesai lagi," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Hadiah Kejohanan Boling Padang Kebangsaan di Kompleks Sukan Negeri Terengganu, petang semalam yang turut dihadiri Presiden Persekutuan Lawn Bowls Malaysia, Datuk Awalan Abdul Aziz dan timbalannya, Datuk Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak.
Terdahulu nama Ahmad Samsuri yang juga Naib Presiden PAS dan dua lagi calon iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai, Hanafiah Mat dan penyandang, Che Alias Hamid juga dari PAS, disebut-sebut bakal bertanding untuk merebut kerusi parlimen itu.
0 Comments