Kerajaan Terengganu hanya terima RM405 juta wang ehsan sejak Disember

 

KUALA TERENGGANU - Kerajaan Terengganu hanya menerima sebanyak RM405 juta bayaran dana khas (wang ehsan) dari Kerajaan Persekutuan dalam tempoh Disember 2022 hingga September 2023 dengan jumlah enam kali pembayaran.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menyatakan jumlah berkenaan adalah berbeza berbanding anggaran dana khas dalam belanjawan tahun 2023 iaitu lebih RM1.5 bilion.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Hilmi Harun (Pas-Manir) mengenai jumlah bayaran dana khas (royalti) yang telah diterima oleh kerajaan negeri dalam tempoh Disember 2022 hingga September 2023 pada Persidangan Dewan Undagan Negeri (DUN) Terengganu, di sini pada Selasa.

Sementara itu, menjawab soalan Khazan Che Mat (Bersatu-Seberang Takir) mengenai jumlah lima peratus hasil petroleum yang diterima oleh kerajaan negeri pada tahun 2022, Ahmad Samsuri berkata, pihaknya hanya menerima hasil wang ehsan berjumlah RM1,39 bilion daripada Kementerian Kewangan.

Menurutnya, jumlah lima peratus hasil petroleum yang sepatutnya dibayar kepada Kerajaan Negeri Terengganu oleh Petronas telah dibayar terus kepada Kementerian Kewangan Malaysia dan iperakaunkan di bawah Akaun Amanah Dana Khas Kerajaan Persekutuan Seksyen 9 Akta Tatacara Kewangan 1957.

"Akaun amanah tersebut dikawal selia oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan di bawah Kumpulan Wang Disatukan Persekutuan," ujarnya.

Menjawab soalan Ir Saiful Azmi Suhaili (Pas-Kemasik) dan Zaharudin Zaid (Pas - Bukit Tunggal) berkenaan usaha dan perancangan kerajaan negeri dalam menjana pendapatan baharu negeri bagi mengurangkan kebergantungan terhadap royalti petroleum, Ahmad Samsuri memaklumkan perkara tersebut adalah fokus utama kerajaan negeri ketika ini.

Ahmad Samsuri berkata, pihaknya memandang kepada ruang untuk menambah baik dan meminda bayaran di bawah hasil cukai seperti cukai tanah, galian, parit dan tali air, hasil hutan, royalti dan cukai hiburan.

"Bayaran-bayaran di bawah hasil bukan cukai seperti premium tanah, premium perhutanan, lesen, permit serta denda dan hukuman," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan Terengganu akan meneliti setiap item di bawah hasil cukai, hasil bukan cukai dan terimaan bukan hasil bagi mendapatkan perincian yang lebih baik berkenaan item yang banyak menjana pendapatan negeri.

"Berdasarkan kepada Belanjawan Negeri 2023, rancangan kerajaan negeri bagi menjana punca-punca pendapatan baharu negeri agar tidak terlalu bergantung kepada pendapatan dari wang ehsan dengan merangka dan melaksana pelan strategik penjanaan pendapatan baharu Terengganu yang merangkumi pelbagai perkara.

"Ini termasuk kajian semula Hasil Cukai dan Hasil Bukan Cukai, pulangan Balik Pendapatan Dalam Bentuk Tunai Daripada Badan Berkanun Negeri dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC), Sumber Galian, Sumber Bahan Batuan, Sumber Air, Fi Pelancongan Dan Rekreasi serta Sumber Alam Sekitar," jelasnya.

Ujar Ahmad Samsuri, kerajaan negeri juga sentiasa mengamalkan pendekatan untuk berjumpa dan berunding dengan kerajaan persekutuan berkenaan pembayaran wang dana khas royalti berkenaan.

"Yang alami penderaan ialah rakyat kerana semua peruntukan ini adalah untuk kebajikan, pendidikan, kesihatan, keusahawanan dan program untuk mengeluarkan rakyat dari kepompong kemiskinan.

"Inilah yang tersirat dalam peribahasa Melayu, marahkan nyamuk kelambu dibakar, marahkan pijat, kelambu dibakar, tidur terdedah," jelasnya.

Post a Comment

0 Comments