Terengganu laksana TOD di enam stesen ECRL

KUALA TERENGGANU - Kerajaan negeri akan melaksanakan Pembangunan Berorientasikan Transit (TOD) di kawasan sekitar enam stesen projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Terengganu.

Menteri Besarnya, Datuk Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, ia selari dengan hasrat bagi menjadikan kawasan berkenaan sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi dan industri baharu di negeri ini.

Menurutnya, bagi merealisasikan hasrat berkenaan, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) berkaitan sedang merangka pelan induk TOD di kawasan tersebut yang dijangka memberi limpahan ekonomi kepada masyarakat setempat.

"TOD ini adalah pendekatan perancangan bandar yang menekankan kepada pembangunan kawasan bercampur penggunaannya mudah dijelajah serta dibangunkan dengan sistem pengangkutan yang cekap.

"Dengan menggabungkan penduduk, aktiviti ekonomi dan ruang awam sambil menggalakkan kemudahan berjalan kaki maka TOD akan mampu memperkukuhkan kehidupan bandar yang lebih baik, berdaya maju dan mesra alam," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ucapan penggulungan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, di sini pada Rabu.

Mengulas lanjut, Ahmad Samsuri menyatakan pihaknya telah mengadakan perbincangan dengan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke sebulan lalu untuk mencari jalan bagi menjadikan stesen ECRL yang direka bentuk sebagai stesen penumpang dapat dijadikan sistem penghantaran barangan atau kargo berat sederhana ke bawah.

Beliau menambah ewujudan fasiliti tambahan (kargo) berkenaan akan membolehkan kawasan industri sederhana berhampiran stesen-stesen dapat diwujudkan, sekali gus merancakkan ekonomi di kawasan sekitarnya.

"Kerajaan negeri juga bersama-sama Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) sedang merangka perancangan bagi Economic Accelarator Projects (EAP) supaya merancakkan lagi pembangunan ekonomi dan industri di sekitar stesen ECRL," jelasnya.

Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu yang berlangsung sejak Selasa lepas ditangguhkan pada satu tarikh yang akan ditetapkan kelak.

Post a Comment

0 Comments