KUALA TERENGGANU: Kerajaan Terengganu percaya pentadbirannya akan tetap berjalan dengan sempurna walaupun tanpa kehadiran pembangkang kerana rakyat akan memainkan peranan sebagai semak dan imbang.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, semua rakyat akan bertindak menjadi pemberi cadangan, ulasan dan kritikan termasuk menerusi medium baharu seperti media sosial.
Katanya, kebanyakan pihak menunggu mengenai pelaksanaan semak dan imbang tanpa kehadiran pembangkang setelah Perikatan Nasional (PN) memenangi kesemua 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu pada 12 Ogos lalu.
“Tidak dinafikan, pada awal penggal ini, ramai yang bertanya, ada yang skeptik dan ada yang lebih nakal mempersalahkan keberadaan dewan ini tanpa pembangkang.
“Hujahan saya mudah. Pertama, manalah kita tahu pilihan yang akan dibuat oleh rakyat pengundi seramai hampir 950,000 di seluruh Terengganu ketika menyertai pilihan raya negeri (PRN) yang lalu.
“Pengundi tidak bersalah membuat pilihan hati nurani mereka dalam negara yang bebas merdeka. Kedua, elemen semak dan imbang di zaman serba baharu ini, tentunya tidak sama dengan zaman lampau,” katanya dalam sesi penggulungan dalam persidangan DUN Terengganu, di sini, hari ini.
Tambahnya lagi, sistem semak dan imbang sudah lama ada menerusi undang-undang pengasingan kuasa eksekutif, legislatif, badan kehakiman yang melibatkan peraturan kewangan, peraturan pentadbiran, sistem audit kewangan dan pentadbiran samada secara dalaman atau pihak ketiga, dan berbagai kaedah lagi.
“Saya percaya perjalanan sidang DUN pada penggal kali ini dapat berjalan dengan sempurna dan mampu mewujudkan elemen semak dan imbang kepada kerajaan, walaupun tanpa rakan-rakan pembangkang, sebagaimana komitmen yang telah diberikan oleh Ahli DUN Bandar (Ahmad Shah Mohamed),” katanya.
Ketika merasmikan pembukaan Persidangan DUN Terengganu pada Ahad lalu, Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin telah menitahkan kerajaan negeri supaya mencari kaedah serta model terbaik dalam sistem pentadbiran tanpa pembangkang.
Titah baginda, ia bagi mewujudkan pentadbiran yang lebih telus dan efisien sebelum membuat sebarang keputusan yang bakal dilaksanakan, demi kepentingan kerajaan dan rakyat.
0 Comments