Assalamualaikum wrh brh
(Salutasi)
Muqaddimah
Alhamdulillah, pada hari ini kita dapat berkumpul dalam Majlis Penyerahan Surat Tawaran Rumah Mampu Milik Gong Chengal Sejahtera 2 di Daerah Kemaman, Terengganu. Setinggi tahniah dan penghargaan kepada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (Bahagian Perumahan) dan PMINT atas komitmen pembinaan projek ini yang bila saya masuk ke kawasan ini tadi, saya ingat lagi saya datang untuk pecah tanah. Kalau tak silap saya pada tahun 2022 ya? 2020. 2020 saya datang untuk pecah tanah dan alhamdulillah, akhirnya ia berjaya disiapkan.
Terima kasih kepada semua agensi-agensi yang terlibat, pihak berkuasa tempatan dan individu yang terlibat dalam memastikan kelancaran pelaksanaan projek sehingga akhirnya berjaya disiapkan dan hari ini alhamdulillah, kita dapat serahkan kepada pemilik-pemiliknya yang semuanya berjumlah 200 unit di kawasan seluas 17.34 ekar.
Saya mewakili Kerajaan Negeri, ingin menyeru kepada semua bakal penerima rumah akan menjaga amanah rumah ini dengan sebaik mungkin. Tadi pun Yang Berhormat Dato' Wan Sukairi telah memberi pelbagai pesanan yang saya kira saya sangat bersetuju dengan pesanan yang telah disampaikan itu dan semoga ianya menjadi peringatan buat kita semua.
Laksanakanlah tanggungjawab semua dengan penuh disiplin akan amanah rumah ini. Jaga kebersihan, keselamatan serta jadikan satu tempat ini, satu tempat yang baru.
Kita datang dari pelbagai tempat, ada yang datang daripada Kemasik, ada datang daripada Kijal dan DUN-DUN lain pun ada, dari felda pun ada. Kita hidup di tempat lain sebelum ini, dan sekarang ini kita akan duduk, hidup bersama-sama.
Tentulah ada perkara yang menjadi perkara baru. Rakan baru, jiran baru, suasana kampung yang baru yang tak sama dengan kampung kita sebelum ini. Jadi, jadikanlah tempat baru ini sebagai azam baru untuk kita hidup dengan penuh harmoni dan penuh semangat kejiranan.
Semoga Rumah Mampu Milik Gong Chengal Sejahtera 2 ini menjadi rumah contoh yang harmoni dan sejahtera.
Para hadirin sekalian,
Dengan lafaz Bismillahirrahmannirrahim, saya merasmikan Majlis Penyerahan Surat Tawaran Rumah Mampu Milik Gong Chengal Sejahtera 2 Kemaman. Semoga mendapat keberkatan di sisi Allah SWT. Sekian, wabillahi taufik wal hidayah, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
0 Comments