Kerjasama Strategik Kerajaan Negeri Terengganu Darul Iman dan Malaysia Rail Link (MRL) Bagi Pembangunan Transit-Oriented Development (TOD) Terengganu.

 

Kenyataan Media

Menteri Besar Terengganu

Kerjasama Strategik Kerajaan Negeri Terengganu Darul Iman dan Malaysia Rail Link (MRL) Bagi Pembangunan Transit-Oriented Development (TOD) Terengganu.

MoU ini adalah langkah strategik dalam memastikan pembangunan kawasan sekitar stesen ECRL dilaksanakan secara terancang dan berimpak tinggi, serta saling melengkapi perancangan negeri serta MRL. MoU ini juga adalah komitmen Kerajaan Negeri untuk mengoptimumkan manfaat pembangunan ECRL sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi dan pelaburan swasta di Negeri Terengganu.

Antara bidang utama kerjasama adalah untuk mencapai objektif-objektif seperti berikut:

i. Perkongsian maklumat, perancangan dan kepakaran;

ii. Penyelarasan rancangan Pembangunan bersepadu bagi meningkatkan kadar penggunaan pengangkutan awam iaitu ECRL di dalam Negeri Terengganu.

iii. Mengoptimumkan perancangan penggunaan tanah dan ketersediaan tanah di sekitar kawasan stesen ECRL di dalam Negeri Terengganu.

iv. Menarik dan mempertingkatkan pelaburan swasta dan aktiviti komersial di kawasan sekitar stesen ECRL di dalam Negeri Terengganu.

v. Menyediakan peluang pekerjaan kepada masyarakat di sekitar kawasan stesen ECRL di dalam Negeri Terengganu.

vi. Meransang aktiviti ekonomi melalui rancangan pembangunan dalam Negeri Terengganu Darul Iman khususnya di sekitar kawasan stesen ECRL.

vii. Memudahkan akses kepada perniagaan dan perkhidmatan di sekitar kawasan stesen ECRL di dalam Negeri Terengganu; dan

viii. Penilaian semula dasar serta polisi sedia ada atas kepentingan pembangunan ekonomi serta pelaburan.

Ekonomi Negeri Terengganu berkembang pada kadar 4.5% pada tahun 2024, sekali gus menyumbang 2.4% kepada KDNK Negara. Negeri Terengganu berhasrat untuk melihat sumbangan yang lebih signifikan kepada KDNK Negara. Saya percaya dan yakin bahawa pelaksanaan dan operasi ECRL akan membawa anjakan yang besar kepada ekonomi negeri, termasuk pengurangan kadar pengangguran yang kini berada 2.9% pada suku ketiga tahun 2025. Dalam masa yang sama, Kerajaan Negeri yakin operasi ECRL akan menarik lebih banyak kemasukan pelaburan swasta ke Terengganu. Kerajaan Negeri optimis bahawa sepanjang tempoh RMK-13, jumlah keseluruhan pelaburan akan melepasi pencapaian RM13.7 bilion pelaburan swasta yang berjaya direkodkan dalam tempoh RMK-12.

Setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak MRL atas kesediaan menjalin kerjasama strategik ini, dan menyeru semua agensi, GLC dan pemain industri untuk turut berganding bahu menjayakan pelaksanaan TOD di negeri ini. Sekian. Terima kasih.

"Memacu Potensi, Melonjak Prestasi"

YAB DATO’ SERI IR. DR. AHMAD SAMSURI BIN MOKHTAR

24 November 2025

Post a Comment

0 Comments