Kenyataan Media
Menteri Besar Terengganu Darul Iman
Belanjawan 2026 Tekankan Keseimbangan, Kesejahteraan Menyeluruh Rakyat
Belanjawan 2026 yang dibentangkan pada hari ini memperuntukkan sejumlah RM1.938 bilion bagi Perbelanjaan Mengurus termasuk RM450 juta bagi Perbelanjaan Pembangunan dengan hasil dianggarkan berjumlah RM1.998 bilion.
Kerajaan Negeri sentiasa komited dalam meningkatkan hasil janaan negeri namun pelaksanaan pelbagai dasar fiskal serta program dan projek adalah menekankan rangsangan pertumbuhan ekonomi dan sosial yang seimbang bagi menjamin kesejahteraan yang menyeluruh dalam kalangan rakyat.
Justeru, fokus Belanjawan 2026 ini adalah untuk memperkemas tadbir urus Kerajaan Negeri, menstruktur daya tahan ekonomi dan melestarikan keperluan sosial bagi mencapai sasaran peningkatan hasil janaan negeri yang lebih tinggi, ekonomi bertumbuh antara 3.4% hingga 4.2% dan Negeri Terengganu terus mengungguli di tangga teratas dalam Indeks Kebahagiaan Rakyat Malaysia.
Sehingga kini, Negeri Terengganu dilihat berada di landasan yang betul untuk menepati sasaran ini apabila banyak indikator menunjukkan pencapaian yang memberangsangkan, antaranya:
1. Bagi tempoh RMK12 dari tahun 2021 hingga 2024, purata hasil janaan negeri meningkat sebanyak 11.9% kepada RM264.88 juta setahun berbanding RM236.77 juta setahun bagi tempoh RMK11; manakala ekonomi pula berkembang secara purata 4.1% setahun berbanding 1.9% setahun bagi tempoh RMK11.
2. Nilai pelaburan kumulatif bagi tempoh RMK12 sehingga Jun tahun ini meningkat sebanyak 48.2% kepada RM14.3 bilion berbanding RM9.6 bilion bagi sepanjang tempoh RMK11.
3. Bilangan perniagaan dan syarikat yang beroperasi di Negeri Terengganu meningkat sebanyak 12.7% kepada 38,448 dengan semua sektor merekodkan pertambahan berbanding 34,126 pada tahun 2024.
4. Kadar pengangguran sehingga suku kedua 2025 menurun kepada 2.8% berbanding 3.4% pada suku keempat 2024.
5. Di samping memperoleh skor Indeks Kebahagiaan Rakyat Malaysia yang tertinggi iaitu 8.64 pada 2024 menjadikan Negeri Terengganu sebagai negeri di tahap sangat bahagia, peratus kebahagiaan Negeri Terengganu dalam Indeks Kebahagiaan Malaysia pada tahun 2025 juga meningkat kepada 89.4% berbanding 87.6% pada tahun 2024.
Saya percaya bahawa sokongan dan dukungan padu daripada seluruh warga sektor awam, pihak swasta dan rakyat terhadap Kerajaan Negeri adalah kunci sebenar kepada prestasi ini dan begitu juga kejayaan akan datang, insya-Allah.
Semoga Allah SWT merahmati Negeri Terengganu.
Sekian. Terima kasih.
"Memacu Potensi, Melonjak Prestasi"
YAB Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri bin Mokhtar
10 November 2025
0 Comments