Perbentangan RUU Perbekalan Terengganu 2026


 

UCAPAN BELANJAWAN 2026 TERENGGANU

 PENDAHULUAN

Bismillahirrahmanirrahim. Alhamdulillahi rabbil alamin. Wabihi nastain wal aqibatul lil muttaqin. Wala udwana illa alzalimin.

Yang Berhormat Datuk Yang di-Pertua,
Yang Berhormat Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri,
Yang Berhormat ahli-ahli Dewan Undangan Negeri,
Yang Berusaha Ketua-Ketua Jabatan dan Agensi,
Yang dihormati para pegawai dan kakitangan kerajaan-kakitangan kerajaan, para petugas media, semua tetamu, pemerhati dan hadirin sekalian.

Semoga ke bawah Duli Yang Maha Mulia Al-Wathiqu Billah, Sultan Mizan Zainal Abidin ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah, Sultan dan Yang di-Pertuan bagi Negeri Terengganu Darul Iman serta segala jajahan takluknya, dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultanah Nur Zahirah, Sultanah Terengganu sentiasa dalam pemeliharaan Allah SWT, dilanjutkan usia baginda berdua dalam keadaan sihat sejahtera yang berpanjangan. Semoga kerahmatan dan kesejahteraan juga ke atas putera-putera dan puteri-puteri baginda serta kerabat-kerabat diraja sekaliannya.

Dato’ Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat,

Saya mohon mencadangkan Enakmen Perbekalan 2026 bagi menggunakan jumlah wang daripada Kumpulan Wang Disatukan dan memperuntukkan jumlah wang itu untuk perkhidmatan bagi tahun 2026. Perinciannya adalah seperti dalam Buku Belanjawan 2026 Terengganu Darul Iman.

Dato’ Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat,

Belanjawan 2026 ini memperuntukkan sejumlah RM1.938 bilion untuk Perbelanjaan Mengurus termasuk caruman kepada Kumpulan Wang Pembangunan sebanyak RM450 juta.

Sektor sosial kekal menerima peruntukan terbesar iaitu RM323.8 juta atau 72 peratus daripada keseluruhan Perbelanjaan Pembangunan. Peruntukan untuk sektor ekonomi ditambah kepada RM92.84 juta atau 21.6 peratus berbanding 4.4 peratus dalam belanjawan 2025, manakala peruntukan untuk sektor pentadbiran pula adalah sebanyak RM33.4 juta atau 7 peratus.

Kerajaan Negeri juga komited untuk meningkatkan hasil janaan negeri iaitu RM85.36 juta daripada Hasil Cukai dan RM203.23 juta daripada Hasil Bukan Cukai di samping RM1.709 bilion daripada Terimaan Bukan Hasil menjadikan keseluruhan hasil adalah berjumlah RM1.998 bilion iaitu surplus sebanyak 3 peratus.

Dato’ Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat,

Belanjawan 2026 ini adalah bertemakan “Memacu Potensi Melonjak Prestasi”. Saya mahu semua entiti Kerajaan Negeri iaitu Jabatan, Agensi Negeri, Badan berkanun, PBT dan GLC negeri bergerak dengan lebih pantas mengembangkan keupayaan masing-masing secara bersama seterusnya meraih pencapaian yang lebih memberangsangkan ke arah merealisasikan visi Terengganu “Maju, Berkat dan Sejahtera” menjelang tahun 2030.

Oleh itu, saya menetapkan keutamaan Kerajaan Negeri kepada tiga fokus.

Fokus 1: Memperkemas Tadbir Urus Kerajaan Bagi Meningkatkan Keberhasilan. Pendetailannya adalah sebagaimana yang dipaparkan di skrin boleh tuan-tuan, Yang Berhormat boleh lihat.

Fokus 2: Menstruktur Daya Tahan Ekonomi Bagi Memacu Pertumbuhan.

Fokus 3: Melestarikan Keperluan Sosial Bagi Menjamin Kesejahteraan Inklusif.

Terengganu menggariskan tujuh pemacu utama untuk melonjakkan prestasi iaitu:

Pemacu 1: Proses belanjawan mesti memberikan penekanan kepada impak dan keberkesanan inisiatif berbanding berorientasikan perbelanjaan dan output.

Pemacu 2:  Jawatankuasa Pelaksanaan dan Penyelarasan Inisiatif Utama Kerajaan yang diberikan mandat untuk memacu keberhasilan penyampaian perkhidmatan Kerajaan Negeri perlu diperikasakan lagi. Oleh itu, kita akan menubuhkan Pasukan Petugas Mekanisme Pembiayaan Inisiatif Utama Kerajaan dan dengan penyertaan ADUN backbentchers.

Pemacu 3: Dua pengkalan data utama iaitu Profil Rakyat Terengganu dan Sahabat Usahawan Terengganu perlu dipastikan lengkap dan sentiasa dikemaskinikan supaya ianya dapat memberikan realiti gambaran yang sebenar isi rumah dan perniagaan di Negeri Terengganu. Dengan mempunyai data sedemikian ini membolehkan Kerajaan Negeri membuat langkah-langkah yang perlu termasuklah melakukan intervensi di mana yang diperlukan.

Pemacu 4: Pendekatan ‘whole-of-state’ (dengan izin) yang melibatkan kerjasama penyelarasan dan kolaborasi antara entiti kerajaan, GLC, pihak swasta dan komuniti yang perlu diperhebat merentasi pelbagai peringkat kerajaan dan sempadan geografi melalui satu perkongsian data strategik yang diurus di bawah satu entiti. Dengan ini semua pihak dapat mengambil manfaat daripadanya.

Pemacu 5: Kecekapan PBT (Pihak Berkuasa Tempatan) yang begitu dekat dengan rakyat, yang setiap hari terpaksa berdepan dengan rakyat ini mesti dipertingkatkan dengan memperkasakan peranan Ahli-ahli Majlis. Kita tidak boleh lagi berada di takuk lama Ahli-ahli Majlis kita. Ianya perlu diperkasakan dengan pelbagai ilmu dan pelbagai pendekatan.

Seterusnya kita juga mengurangkan beban kawal setia serta dan menyelaras perkhidmatan dan prosedur yang lebih seragam antara PBT. Kita ada PBT di pelbagai tempat dengan keupayaan yang berbeza-beza. Prosedur yang perlu kita seragamkan dalam pelbagai sudut termasuklah kebenaran merancang, pelesenan dan kemudahan pakir. Dan tentunya yang paling penting diantara semuanya ialah bagaimana kaedah untuk saling belajar mempelajari antara satu sama lain di kalangan PBT supaya kita dapat meningkatkan kecekapan.

Pemacu 6: Program TVET yang juga perlu diarus perdanakan di kalangan rakyat, dan Kerajaan Negeri akan menubuhkan Majlis TVET Negeri Terengganu.

Pemacu 7:  Berkenaan dengan kepuasan dan kepercayaan rakyat terhadap Kerajaan Negeri mesti yang mesti dipertingkatkan dan diperkukuhkan melalui tugas kita melalui pemantapan jentera dan operasi penerangan yang lebih berkesan. Pelbagai kaedah boleh dilaksanakan antaranya ialah artificial intelligence (dengan izin) dan data raya.

Saya sifatkan bahawa ketujuh-tujuh pemacu ini sebagai penting dan segera. Oleh itu, saya memohon perhatian daripada semua Ahli-Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri dan Ketua-Ketua Jabatan terutama yang hadir dalam dewan ini untuk mengambil tindakan yang sewajarnya.

Dato’ Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat,

Bagi mengukuhkan kedudukan fiskal, keutamaan Kerajaan Negeri adalah pada meningkatkan kecekapan kutipan hasil sedia ada, di samping mempelbagaikan sumber hasil dan mengoptimumkan penggunaan sumber luar. Kerajaan Negeri melalui Pejabat Perbendaharaan akan memperkenalkan insentif bagi menggalakkan peningkatan hasil dan mengiktiraf keberkesanan strategi yang dilaksanakan oleh pusat tanggungjawab hasil.

Bagi meningkatkan kualiti penyampaian, Kerajaan Negeri akan mempergiatkan usaha pendigitalan perkhidmatan serta pemantapan kompetensi penjawat awam dan pengurusan strategik sektor awam. Potensi dan kompetensi penjawat awam yang perlu berdepan dengan rakyat ini akan dibangunkan dengan lebih berkesan menerusi pelan operasi latihan kursus wajib kepada yang telah disahkan dalam perkhidmatan dan program sangkutan pegawai di entiti kerajaan serta GLC negeri yang terpilih. Ini antara-antara kaedah kita untuk meningkatkan kemahiran, ilmu sesuai dengan perkembangan semasa.

Semua entiti Kerajaan Negeri juga akan disediakan khidmat nasihat dan pundingan pakar mengenai perancangan strategik dan pengurusan prestasi. Kerajaan Negeri juga melalui Pejabat Setiausaha Kerajaan akan membuat penarafan prestasi perkhidmatan. Kita bukan nak banding-bandingkan di antara agensi, PBT-PBT tetapi ini adalah salah satu cara untuk kita sebagai cara untuk membuat penilaian kendiri, untuk kita menilai dan mengetahui dimana kedudukan dalam sektor perkhidmatan ini dari segi kecekapan dan sebagainya.

Kerajaan Negeri akan mengadakan Karnival Rakyat Sejahtera di semua pusat khidmat masyarakat untuk mengeratkan hubungan masyarakat, memudahkan rakyat mengakses pelbagai perkhidmatan kerajaan dan berhubung langsung dengan pemimpin setempat bagi menyelesaikan sebarang isu. Kita dapati bahawa program-program kita turun kebawah dengan pelbagai nama ini dapat mendekatkan rakyat dengan agensi-agensi kerajaan yang mana mereka di kalangan rakyat ini sentiasa perlu berurusan. Dengan kita mengadakan karnival ini, insya-Allah  kita berharap ianya akan menjadi satu ruang untuk pemimpin-pemimpin di peringkat Kerajaan Negeri dan di peringkat dewan undangan Negeri masing-masing bersama dengan local community leaders (dengan izin) untuk berganding bahu bagi menyelesaikan apa jua permasalahan yang wujud di tempat masing-masing.

Mahkamah Syariah pula akan memperkenalkan proseding secara dalam talian dan jarak jauh bagi membolehkan pihak-pihak yang terlibat mengakses perbicaraan ini. Ini juga berkait dengan meningkatkan kecekapan.

Kerajaan negeri juga sedang diperingkat akhir untuk menerima pakai sepenuhnya Akta 672 bagi menambah baik pengurusan sistem pepejal dan pembersihan awam yang kita sentiasa menerima rungutan dan juga pandangan daripada pelbagai pihak termasuklah di kalangan rakyat kita bagaimana untuk meningkatkan pengurusan sisa pepejal dan insya-Allah dengan penerimaan sepenuhnya Akta 672 yang kita akan rundingkan supaya mendapat kedudukan yang terbaik untuk negeri dan untuk rakyat.

Dato’ Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat,

Bagi memperdaya pertumbuhan ekonomi, Kerajaan Negeri akan menumpukan kepada pelaburan dan perindustrian bernilai tinggi dan perdagangan strategik serta pemerkasaan industri halal. Sebagai induk dan pelengkap kepada pelbagai dasar dan pelan tindakan sedia ada, Kerajaan Negeri melalui Unit Perancang Ekonomi Negeri akan membangunkan Rangka Tindakan Transformasi Ekonomi Negeri Terengganu yang memperincikan rancangan pembangunan pelaburan dan perindustrian berasaskan peralihan tenaga, mineral, teknologi dan digital, elektrik dan elektronik serta makanan dan asas tani.

Selain itu juga, Kerajaan Negeri akan memendekkan tempoh proses permohonan pajakan tanah, memberi diskaun dan memperkenalkan pembayaran berjadual harga pajakan tanah, menaik taraf kawasan perindustrian dan membangunkan aplikasi Terengganu Geografik Information System (dengan izin).

Semua yang saya sebutkan tadi untuk kita kekal kompetitif di kalangan negeri-negeri yang ada di Malaysia dan supaya pelabur-pelabur daripada luar melihat destinasi Terengganu adalah destinasi yang attractive (dengan izin) atau yang menarik. Kita perlu melakukan anjakan yang sebenar-benarnya untuk memastikan proses yang perlu dilaksanakan itu adalah dengan lebih cekap dengan kita melihat pelbagai aspek termasuklah isu tanah dan sebagainya. 

GLC negeri juga akan berperanan dalam menubuhkan makmal mineral, membangunkan terminal import dan regasification LNG, melaksanakan kajian kebolehlaksanaan pembangunan logi hidrogen dan ammonia hijau, membina kilang baja bagi tanaman kelapa sawit dan pertanian lain, mengoperasikan Kawasan Perindustrian Halal Park Gong Badak Tambahan serta menyusun rancangan bagi pemilikan sebahagian daripada kepentingan operasi dalam telaga pengeluar minyak dan gas yang aktif di Semenanjung Malaysia.

Apa yang kita rancangkan ini adalah sebahagian daripada usaha untuk menyediakan Negeri Terengganu apabila ECRL siap nanti. Kita tidak mahu ECRL yang apabila beroperasi nanti, itu hanya sekadar menjadi mod pengangkutan penumpang tapi tidak digunakan sepenuhnya oleh pihak kerajaan dan juga masyarakat serta pelabur-pelabur yang ada di Negeri Terengganu ini terutama yang berkait dengan pengangkutan bahan-bahan kargo dan sebagainya melalui ECRL. Oleh kerana itu, kita perlu menyediakan infra-infra dan mengenalpasti kawasan perindustrian yang sesuai yang berhampiran dengan TOD atau kawasan stesen ini.

Dato’ Yang di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat, 

Bagi menggalakkan ekosistem perniagaan yang kondusif, Kerajaan Negeri memberikan komitmen untuk menyediakan sokongan keusahawanan, membangunkan kapasiti perniagaan dan memudah cara akses kepada sasaran.

Ini termasuk juga bagaimana kita ingin meningkatkan kemahiran para usahawan kita di Negeri Terengganu, yang perlu berada di luar dari Negeri Terengganu bukan semata-mata menjadi supplier (dengan izin) di Negeri Terengganu sahaja, tapi meningkatkan keupayaan mereka supaya lebih sampai ke peringkat nasional dan juga sampai ke peringkat antarabangsa.

Usahawan terutamanya dalam kalangan belia B40 dan asnaf akan terus disokong dengan pemudahcaraan pendaftaran perniagaan dan pematuhan lain, pelaksanaan program latihan keusahawanan dan bimbingan perniagaan serta penyediaan kemudahan pembiayaan mikro melalui Program UBES dan Program iTEKAD dengan kerjasama institusi kewangan.

Penganjuran pesta perdagangan berskala besar seperti Karnival Usahawan dan Koperasi serta Festival Halal akan menjadi platform strategik untuk mempromosikan produk tempatan di samping mengembangkan rangkaian, meneroka peluang pasaran baru dan meningkatkan kehadiran jenama tempatan di pasaran nasional dan global.

Sekiranya kita mengadakan festival-festival ini, yang masanya kena dengan cuti sekolah, tentulah kehadiran pelancong yang ramai daripada negara ini akan menjadi suatu medan untuk mempromosikan produk-produk tempatan ini.

Kerajaan Negeri juga akan membantu usahawan dalam menguruskan pemasaran digital secara berpusat serta membangunkan peniagaan e-dagang. Program Anak Terengganu Certificate juga akan diperluas untuk memberikan keutamaan kepada peniagaan milik anak Terengganu dalam projek di bawah PETRONAS dan perolehan Kerajaan Negeri.

Ini antara perkara yang sentiasa kita tahu, setiap di antara kita ini bila pegang handphone maka tentulah e-dagang yang ada dalam handphone masing-masing dengan pelbagai nama yang tak nak saya sebut di sini, sentiasa bermain di bibir dan bermain di mata masing-masing. Jadi kita nak bawa supaya usahawan Negeri Terengganu ini juga diperkasakan dari segi e-dagang mereka supaya mereka juga boleh memasarkan produk mereka dengan lebih berkesan. 

Bagi memperkasakan industri pelancongan, Kerajaan Negeri akan menggerakkan sinergi pelbagai pihak untuk mempromosikan Tahun Melawat Terengganu 2027. Rangka kerja tadbir urus Tahun MelawatTerengganu 2027 juga akan diperkasakan dengan penubuhan Sekretariat Tahun Melawat Terengganu 2027 melibatkan pelbagai entiti kerajaan, GLC, pihak swasta, penggiat industri dan wakil komuniti. Negeri Terengganu mesti menjadikan Tahun Melawat Malaysia 2026 sebagai batu loncatan, terutamanya bagi meningkatkan ketibaan pelawat asing ke negeri ini.

Oleh kerana itu, program-program yang bertaraf antarabangsa seperti Sultan Mizan International Photography Award, Ijtima’ Antarabangsa Perpaduan Ummah dan Himpunan Melayu Nasantara akan dilaksanakan sebagai antara tarikan utama.

Dato’ Yang DiPertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat, 

Bagi meracakkan pembangunan dan perumahan, Kerajaan Negeri akan terus memperkukuhkan kerjasama antara pihak awam dan swasta, memperbaharui dasar, menambah baik dasar-dasar sedia ada dan prosedur serta menggalakkan kepermintaan dalam pasaran.

Projek yang berimpak tinggi yang menjadi tumpuan; antaranya adalah laksanakan kerja-kerja awalan bagi pembangunan TOD di ECRL, pembaikan dan penyelenggaraan infrastruktur mitigasi bencana, penggunaan ICT bagi bandar pintar, pembesaran pelabuhan kemaman dan pembinaan laluan sisihan dari stesen ECRL Chukai ke Pelabuhan Kemaman. Semua ini adalah untuk menyediakan Terengganu, untuk berdepan dengan cabaran perindustrian yang lebih besar di waktu hadapan.

Pembangunan rumah pemilik juga antara agenda terpenting Kerajaan Negeri dan kita sedar bahawa tempat berteduh bagi rakyat kita adalah satu perkara yang tersangat penting. Di samping, sebanyak 620 unit rumah telah dan akan siap dibina pada tahun ini di tiga daerah iaitu di Kuala Nerus, Kemaman dan Besut, ada 9,134 unit lagi dalam pembinaan di semua daerah.

Manakala 3,438 unit rumah dalam perancangan di enam daerah iaitu Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Hulu Terengganu, Marang, Kemaman dan Setiu. Dan tentunya dalam melaksanakan perumahan kepada rakyat rumah mampu milik ini, kita memerlukan keterlibatan dan penglibatan secara terus daripada pihak swasta yang perlu disediakan insentif-insentif yang sesuai yang menarik kepada mereka untuk melabur di NegeriTerengganu.

Selain daripada itu juga, turut diberikan perhatian dalam kerja-kerja pembinaan, pembaikian dan penaiktarafan masjid dan surau, yang ada di antaranya yang begitu uzur di selatan negeri kita serta kemudahan institusi-institusi pendidikan. Antaranya ialah melibatkan Kolej Al-Quran Terengganu, Pusat Tafaqquh Fiddin Tok Syeikh Duyung serta Sekolah Menengah Imtiaz, Sekolah Menengah Agama Atas Sultan Zainal Abidin dan SMIDI Ajil.

Kerajaan Negeri juga sedang mengusahakan cara pembinaan masjid baru Masjid Kampung Kubang Palas di Kuala Telemong melibatkan dengan kerjasama pihak Kerajaan Persekutuan. Orang Telemong boleh ada masjid baru, insya-Allah.

Dato’ Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat, 

Bagi menstabilkan akses kepada keperluan asas, Kerajaan Negeri menumpukan usaha untuk meningkatkan pengeluaran hasil pertanian, membangunkan rantaian nilai makanan dan melestarikan pendidikan kepenggunaan.

Oleh itu, berkaitan dengan ini, berbagai program dan projek berimpak tinggi yang telah dirangkakan dalam Plan Strategi Pertanian Terengganu 2024-2030 akan dilaksanakan. Dan kita yakin ianya mampu menyumbang kepada sekuriti makanan serta pertumbuhan ekonomi negeri.

GLC negeri juga akan berperanan dalam melaksanakan projek agro-makanan berimpak tinggi. Antaranya ialah seperti projek outgrower lada hitam, Projek agrivolta dan projek penternakan ayam secara bersepadu di Setiu serta pengguna tanaman tembikai di Ajil.

Sambutan Hari Peladang, Penternak Dan Nelayan bukan sahaja akan diadakan bagi menghargai warga tani malah akan dilengkapkan dengan Penganjuran Agro Summit bagi mempromosikan teknologi serta amalan terbaik merangka strategi pembangunan agro yang mampan dan membuka potensi pelaburan baru.

Suatu inisiatif juga sedang akan diusahakan bagi membantu pekedai runcit tempatan dalam memperoleh bekalan dan menjual barangan keperluan dengan harga lebih murah sekali gus dapat mengurangkan kos hara hidup pengguna. Di samping itu, bagi menggalakkan masyarakat membeli dan menggunakan produk keluaran peniaga tempatan, Kerajaan Negeri akan memperhebat kampen sokong perniagaan dan produk orang Terengganu ataupun singkatannya ialah SAPOT (S-A-P-O-T) dan dekat-dekat bunyi support dalam bahasa Inggeris, hebat juga orang Terengganu ni.

Di samping memfokuskan pembangunan tenaga kerja terlatih tempatan melalui pemeriksaan institusi dan bidang pendidikan aliran kemahira, Kerajaan Negeri akan sentiasa memberikan perhatian kepada sekolah agama rakyat, tahfiz dan pondok.

Bagi menjamin kehidupan yang lebih berkualiti dan produktif, rakyat mesti dibudayakan dengan pengamalan pemakanan baik dan aktiviti kecergasan serta mengukuhkan institusi keluarga dan menjadi masyarakat yang bertanggungjawab.

Ini berkait dengan pelbagai perkara sebenarnya amalan pemakanan yang baik, meningkatkan kecergasan ialah sebagai salah satu usaha untuk mengurangkan penyakit-penyakit yang akan datang kepada setiap individu. Bila penyakit itu dapat dikurangkan, bebanan perbelanjaan di hospital atau klinik itu akan dapat dikurangkan.

Justeru, untuk merintis pembudayaan ini semua entiti Kerajaan negeri dan GLC negeri mesti menganjurkan Fat-to-Fit Challenge, nama pun catchy. Tak ada orang nak mengaku dia fat, dia gemuk. Fat-to-Fit Challenge serta mengaktifkan aktiviti regangan ringkas atau X-Break dan memastikan hanya hidangan sihat disajikan semasa mesyuarat, kursus atau bengkel yang diadakan.

Ada orang dengar selalu kalau sebut hal makanan makanan ini, kena pastikan bahawa makanan yang memenuhi keperluan bukan sahaja sedap. Sedap itu sebagian daripada ciri kena cukup lengkap lah. Tapi ada orang kata dah saya tak makan sayur daripada kecil lagi nak makan sayur mana? Jadi, itu para doktor yang daripada Jabatan Kesihatan kena cari formula lah macam mana.

Pelbagai aktiviti dan kempen juga akan diadakan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat supaya menjauhi dan memerangi jenayah sama ada civil atau syariah. Selain dari meminda enakmen syariah-syariah bagi memastikan individu yang melakukan kesalahan dalam talian yang boleh dibawa ke muka pengadilan, Kerajaan Negeri juga akan menubuhkan Jawatankuasa Pematuhan Garis Panduan Syariah Negeri Terengganu melibatkan pelbagai entiti Kerajaan Negeri bagi meningkatkan pemantauan, penyelarasan dan pematuhan garis panduan Syariah.

Apa yang dilakukan oleh mereka di luar sana ini ataupun warga dunia sekarang ini semakin hari semakin canggih dengan adanya dalam talian dan sebagainya. Jadi, bagaimana sesebuah kerajaan harus memikirkan cara untuk menangani terutama yang melibatkan anak-anak kita atau generasi yang akan datang ini.

Di masa yang sama, Kursus Praperkahwinan dan Program Pasca Perkahwinan pula akan dimatapkan melalui modul yang bersepadu latihan berstruktur, pemantauan berterusan serta pendekatan holistik. Ini antara tujuan untuk meningkatkan keberkesanan rumah tangga yang menjadi satu unit yang sangat asas dalam masyarakat, baik di dalam rumah tangga ini, insya-Allah baiklah di dalam masyarakat. Walaupun perkara-perkara seperti ini tidak mudah untuk dilakukan mindset change (dengan izin) atau perubahan minda tapi ianya perlu dilakukan bukan untuk memayahkan atau menjadikan program perkahwinan atau aktiviti perkahwinan itu sebagai makin susah, tapi ini antara usaha daripada pihak kerajaan untuk memastikan mereka bersedia berada di satu alam yang baru iaitu alam keluarga.

Simposium Kepimpinan Belia juga akan dianjurkan untuk membina daya kepimpinan dan menggalakkan penglibatan belia dalam pembangunan demokrasi dan takbir urus negeri, mereka adalah cerminan kita di masa hadapan, perlu kita sediakan mereka dengan pelbagai bentuk kepimpinan dan penglibatan terutama yang melibatkan aktiviti-aktiviti kebersamaan dalam masyarakat.

Sempena temasya sukan yang bakal berlangsung pada Ogos tahun depan, Kerajaan Negeri akan memastikan atlet SUKMA dan Para SUKMA dilatih dan dipimpin secara menyeluruh dari segi fizikal, mental dan taktikal agar tampil dengan semangat juang yang tinggi demi mengharumkan nama Negeri Terengganu dan semua kita sedar bahawa Terengganu ini sinonim dengan pencapaian dalam bidang sukan sehingga kita mampu untuk melahirkan mereka yang tersohor bukan sahaja di peringkat nasional, bahkan di peringkat antarabangsa.

Program-program harus dilaksanakan dengan lebih menyeluruh supaya kita mampu untuk menjadi pengeluar kepada juara-juara di peringkat nasional dan di peringkat antarabangsa di masa-masa hadapan.

Dato’ Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat, 

Mengakhiri ucapan ini, bagi seluruh anggota pentabiran Kerajaan Negeri dan para penjawat awam, marilah kita mengikhlasi amanah besar yang sedang dipikul ini oleh semua orang bukan Menteri Besar, bukan Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, bukan Wakil Rakyat saja, bukan Ketua Jabatan saja, tapi semua di antara kita termasuklah mereka yang berada di rumah pun, kita masing-masing memikul amanah yang sangat besar, yang sangat berat, yang akhirnya kita akan ditanya oleh Allah SWT.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud;

“Tiada seorang hamba yang telah diamanahkan oleh Allah SWT untuk menguruskan hal ehwal rakyat di bawah tanggungannya, lalu tidak menunaikan amanah tersebut meskipun dengan hanya menyampaikan satu nasihat melainkan tidak dapat mencium haruman syurga.” (Riwayat al-Bukhari: 7150)

Apa jua amanah yang diberikan kepada kita, kita kena laksanakan terutama yang berkait dengan hal-hal ehwal rakyat di bawah tanggungan kita, tidak dapat tidak, kita mesti laksanakan. Semoga kita semua sentiasa mendapat taufik dan hidayah daripada Allah SWT untuk menjadi pemimpin yang adil dan rakyat yang beriman lagi bertakwa. Ini terkena pada semua orang mereka yang berada di rumah pun menjadi pemimpin kepada keluarga masing-masing.

Dengan izin Allah SWT, marilah kita bersama-sama menjadikan Belanjawan 2026 ini sebagai wadah untuk rakyat hidup secara lebih sejahtera dan yang paling penting bagi kita ialah mendapat keberkatan di sisi Allah SWT.

Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua,

Saya mohon mencadang.



 


Post a Comment

0 Comments