62 acara inisiatif tarik pelancong ke Terengganu

KUALA TERENGGANU: Sebanyak 62 acara pelancongan dan kebudayaan mewarnai Kalendar Acara Tahunan (COE) Terengganu 2024 sebagai inisiatif kerajaan negeri untuk mencapai sasaran kunjungan seramai 4.5 juta pelancong pada tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, terdapat lima kluster utama yang diberi fokus bagi mempromosikan sektor pelancongan di Terengganu.

Katanya, ia termasuk elemen seni, budaya dan warisan yang menjadi identiti serta keistimewaan masyarakat di Terengganu.

“Membuka tirai dalam kalendar pelancongan ini ialah Program Senandung Terengganu dan Gema Gemalai Gamelan Melayu di Kuala Terengganu City Centre (KTCC).

“Seiring peredaran waktu, kerajaan negeri menerusi Jabatan Pelancongan Negeri kembali mengangkat Senandung Terengganu sebagai satu jenama yang terus dipopularkan sebagai payung kepada pelbagai pengisian program berkait keseniaan, kebudayaan dan warisan di negeri ini,” katanya selepas Program Senandung Terengganu dan Pelancaran COE 2024, di KTCC di sini.

Antara aktiviti yang disediakan untuk pengunjung ialah permainan rakyat, pertandingan mewarna, klinik gamelan, pameran kostum gamelan, program penggalakkan penyu Terengganu, demonstrasi kebudayaan, persembahan flash mob gamelan, persembahan kertuk ulu dan dikir hulu.

Razali berkata, COE 2024 mengandungi 12 acara ikonik serta 62 acara pelancongan serta kebudayaan meliputi seluruh segmen pelancongan dan diadakan di seluruh daerah di negeri ini.

“Penyenaraian COE 2024mengambil kira semua elemen, antaranya kekuatan dan impak penganjuran acara tersebut dalam usaha menarik minat pengunjung mal sumbangan terhadap sosio ekonomi rakyat negeri.

“Malah setiap acara yang dibuat itu akan menampilkan keunikannya tersendiri dan sentiasa dinanti-nantikan pelancong tempatan serta antarabangsa,” katanya.

Antara acara ikonik lain yang berlangsung di Terengganu tahun ini ialah Karnival Beautiful Terengganu (23-24 Februari), Pelita Raya Terengganu (19-23 Mac), Jaguh Ngail Terengganu (April), Festival Candat Sotong (18-19 Mei), Kenyir Geopark Eco-Fest (29 Mei-1 Jun) dan Terengganu International Bike Week (28-30 Jun).

Seterusnya ialah Karnival Pantai Terengganu (Ogos), Kejohanan Tour Gateh D’Tranung (September), Kejohanan Kuda Lasak Piala Sultan Mizan (24-27 Oktober), 4×4 Rainforest Challenge dan International Monsoon Casting
Tournament (Disember).

 

Post a Comment

0 Comments