PAS bukan parti kampung, ramai teknokrat di belakang tabir


KUALA TERENGGANU: PAS ada ramai pemimpin berpotensi untuk meletakkannya menjadi parti Islam moden di negara ini, kata naib presidennya Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Sehubungan itu, Menteri Besar Terengganu yang juga Ahli Parlimen Kemaman itu berkata tindakan pihak tertentu menyamakan PAS dengan Taliban adalah satu kesilapan.

Samsuri berkata, dakwaan mengatakan PAS adalah parti ekstremis dan mempunyai rasa prejudis lalu menyamakan parti ini seperti parti Islam lain di dunia adalah 100 peratus tidak benar sama sekali.

Katanya, PAS amat memahami struktur masyarakat yang terdiri daripada kepelbagaian etnik serta agama di negara ini.

"PAS adalah parti yang sudah relevan serta boleh diterima oleh seluruh masyarakat di negara ini.

"PAS kini bukan lagi boleh dianggap sebagai 'parti kampung' kerana parti sudah berada dan bergerak jauh ke hadapan," katanya.

Selain itu, katanya, PAS mempunyai ramai ahli kalangan golongan teknokrat, tetapi mereka tidak menonjol ke depan sebaliknya bergiat termasuk menyusun strategi di belakang tabir.

"Kita mempunyai ramai ahli yang datang daripada pelbagai bidang dan latar belakang, tetapi mereka tidak menonjol ke depan, sebaliknya berperanan di belakang tabir dan terbabit dalam menyusun atur strategi untuk PAS terus bergerak ke hadapan.

"Saya adalah antara salah seorang yang pernah menjadi sebahagian daripada mereka sebelum diketengahkan sebagai calon pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada tahun 2018," katanya menerusi Facebook (FB), hari ini.

Samsuri turut menegaskan PAS juga bukanlah sebuah parti yang sempurna tetapi mempunyai ahli dan penyokong terdiri daripada pelbagai latar belakang.


Post a Comment

0 Comments