PAS ada potensi jadi parti Islam moden


KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, ada yang beranggapan PAS sebuah parti yang tidak mempunyai ramai golongan teknokrat.

“Sebenarnya dalam PAS, kita mempunyai ramai ahli yang datang dari pelbagai bidang dan latar belakang,” ujarnya dalam hantaran di Facebook beliau, hari ini.

Namun, katanya kebanyakan daripada mereka tidak menonjol ke depan, sebaliknya amat berperanan di belakang tabir dan terlibat dalam menyusun atur strategi untuk PAS terus bergerak ke hadapan.

Menurutnya, beliau merupakan salah seorang yang pernah menjadi sebahagian daripada mereka sebelum diketengahkan sebagai calon pada pilihan raya umum 2018 lalu.

Tambahnya ada juga yang beranggapan PAS sebuah parti ekstremis dan mempunyai rasa prejudis lalu menyamakan PAS dengan parti Islam lain di dunia ini.

Beliau yang juga Menteri Besar Terengganu menegaskan, itu 100 peratus tidak benar sama sekali.

“Di Malaysia, kita amat memahami struktur masyarakat yang terdiri daripada kepelbagaian etnik serta agama dan PAS merupakan parti yang sudah relevan serta boleh diterima oleh masyarakat dalam negara ini,” katanya lagi.

Menurut beliau, PAS mempunyai potensi untuk menjadi sebuah parti Islam yang moden.

Justeru, ujarnya menyamakan parti PAS dengan Taliban dan yang seumpamanya merupakan satu kesilapan.

“Kami amat memahami, untuk menjadikan negara kita negara yang terbaik, kita semua perlu bekerjasama sebagai warganegara Malaysia,” katanya.

Tambahnya, PAS kini bukan lagi ‘parti kampung’ dan ianya sebenarnya lebih dari hanya sekadar parti.

“Kami sudah berada sejauh ini dan akan terus bergerak ke hadapan.

“PAS juga bukanlah sebuah parti yang sempurna tetapi kami mempunyai ahli dan penyokong yang terdiri dari pelbagai latar belakang yang mendukung,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Kemaman. 

Post a Comment

0 Comments