HULU TERENGGANU, 8 Januari- Kerja pembaikan cerun dan kerosakan infrastruktur di Stesen Janaelektrik Sultan Mahmud (SJSM) Kenyir yang runtuh ketika bencana akhir Februari serta awal Mac 2022 sedang berjalan dengan lancar.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri Terengganu, Hanafiah Mat berkata sehingga kini kerja-kerja pembaikan cerun masih dilakukan di dalam kawasan Tenaga Nasional Berhad (TNB), manakala bagi bukit di luar kawasan TNB usaha baikpulih oleh Jabatan Kerja Raya (JKR).
Katanya, bagi kerja-kerja baik pulih yang melibatkan TNB, mereka bermula sejak 27 Februari 2022 dan fasa pertama meliputi empangan dan alur limpah telah siap seratus peratus.
"Kini TNB telah memasuki fasa seterusnya yang melibatkan hampir 60 peratus cerun dibawah kawasan seliaan mereka.
"Sementara itu, bagi lima cerun di kawasan seliaan JKR, kerja-kerja baik pulih bermula pada Oktober tahun lepas melibatkan peruntukan sebanyak RM42 juta, " katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuat tinjauan ke tapak projek bagi kerja baik pulih SJSM bertempat di Jenagor di sini hari ini.
Hanafiah turut berkata penilaian terkini mendapati struktur empangan juga kekal utuh dan tidak berisiko mendatangkan ancaman keselamatan kepada masyarakat.
"Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat spekulasi sehinggakan mencetuskan suasana panik berhubung tentang keselamatan empangan.
"Empangan Kenyir masih dalam keadaan selamat dan terkawal serta pihak TNB sentiasa memantau paras air di empangan tersebut secara berkala," katanya.
SJSM dihenti tugas sementara berikutan menara penghantaran voltan tinggi 132kV yang menyalurkan bekalan elektrik kepada Grid Nasional tumbang pada 27 Februari akibat kejadian tanah runtuh dalam keadaan hujan lebat luar biasa bermula 25 Februari.
Kejadian tanah runtuh itu turut memutuskan perhubungan jalan keluar-masuk ke SJSM, meruntuhkan sebuah jambatan dan diikuti aliran mendapan yang membanjiri kawasan stesen.
0 Comments