KUALA TERENGGANU: “Alhamdulillah, satu lagi fasa baru bakal bermula setelah kita melangkah ke gerbang tahun 2024,” kata Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Bagi kerajaan negeri, ujarnya tahun 2024 merupakan penggal baharu yang bakal dicoretkan setelah sekali lagi diberikan mandat oleh rakyat dalam Pilihan Raya Negeri ke-15 untuk mengemudi negeri ini.
“Setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan kepada Allah SWT atas rahmat dan nikmat yang dikurniakan,” ujarnya dalam kenyataan, di sini.
Katanya, jika ditoleh sepanjang tempoh penggal yang lepas, Kerajaan Terengganu era pentadbiran PAS telah melaksanakan 20 manifesto yang dijanjikan pada Pilihan Raya Umum ke-14.
Dalam tempoh tersebut juga, jelasnya Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Negeri Terengganu memperlihatkan peningkatan setiap tahun kecuali pada tahun 2020 kerana impak pandemik Covid-19 yang menjejaskan ekonomi dunia keseluruhannya.
Di samping itu, katanya kadar pengangguran di Terengganu mencatatkan penurunan kepada 3.6 peratus tahun lalu berbanding 4.0 peratus tahun sebelumnya dan lebih rendah mengatasi paras nasional iaitu 3.9 peratus.
Tambahnya, untuk tempoh 5 tahun yang akan datang, tentunya pelbagai perancangan telah digariskan sama ada untuk jangka masa pendek, sederhana mahupun panjang.
Apa yang paling utama, ujarnya kerajaan negeri akan mengoptimumkan hasil pendapatan negeri melalui Pelan Penjanaan Pendapatan Baharu Negeri Terengganu yang mengandungi tujuh strategi bagi mengurangkan kebergantungan kepada hasil royalti petroleum dan gas serta krisis kekurangan simpanan minyak.
“Pelan ini juga menggariskan tiga objektif utama iaitu mengoptimumkan sumber negeri sedia ada, mengeksplorasi sumber baharu negeri serta mencari peluang jana pendapatan baharu terutamanya dalam sektor teknologi hijau dan Unsur Nadir Bumi (REE),” ujarnya.
Dalam penggal yang lalu juga, kata beliau Terengganu telah berjaya mengurangkan tiga hingga empat peratus kebergantungan kepada royalti dan kita optimis ia akan dapat dikurangkan lagi dengan pelan yang dirancangkan.
“Hasrat saya pada tahun 2024 juga, kita sama-sama dapat mendepani cabaran ekonomi dalam lima tahun ke depan,” katanya lagi.
Tambahnya, jika penggal yang lalu beliau berusaha untuk mengubah perubahan minda rakyat Terengganu dengan politik matang dan sejahtera, akan datang akan memastikan rakyat dapat melakukan perubahan minda untuk mengubah persepsi serta budaya ‘cukup sekadar ini sahaja’, dengan merebut peluang dalam kitaran ekonomi yang bakal dilakukan.
“Kita perlu bersedia dan berfikiran terbuka untuk melakukan anjakan padigma selaras dengan perubahan persekitaran yang berlaku.
“Tugas ini tidak mudah dan cabarannya juga pasti banyak, namun jika ia tidak dimulakan, hasilnya tidak akan datang, bak kata pepatah, ‘berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian’, insya-Allah,” tambahnya.
Dalam pada itu, ujarnya untuk memastikan perancangan serta agenda ini berhasil, semua pihak termasuk pimpinan di pelbagai peringkat haruslah memainkan peranan masing-masing.
“Setiap dari kita perlu bekerja secara bijaksana, menggunakan rangkaian serta bekerjasama dengan pelbagai agensi dan jentera di lapangan.
“Kita juga memerlukan pemikiran dan kemahiran analitikal serta interpersonal apabila mengemudi sesebuah kumpulan mahupun yang lebih besar seperti negeri dan negara.
“Kita harus melakukan ubahsuai dalam cara kita memberikan perkhidmatan agar sentiasa responsif, relevan, cekap, cepat dan berkesan dalam memenuhi segala keperluan dan harapan rakyat yang berada di hadapan kita. Insya-Allah dengannya, kita mampu menawarkan model pentadbiran yang lebih baik.
“Akhirnya, ingatlah bahawa tugas kita semua adalah berat. Marilah kita terus bekerja bersama-sama ke arah membina Terengganu ke satu tahap yang lebih baik pada masa hadapan,” ujarnya lagi.
0 Comments