Pas bukan 'parti kampung', mampu jadi parti Islam moden - Ahmad Samsuri


KUALA TERENGGANU - Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menyifatkan Pas mempunyai potensi untuk menjadi sebuah parti Islam yang moden, bukan sebuah parti 'kampung' atau sama seperti parti ekstremis lain.

Menurutnya, parti itu mempunyai pendekatan berbeza bagi memastikan ia dapat diterima oleh masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini.

"Ada yang beranggapan Pas sebuah parti ekstremis dan mempunyai rasa prejudis lalu menyamakan Pas dengan parti Islam lain di dunia ini. Ini 100 peratus tidak benar sama sekali.

"Di Malaysia, kita amat memahami struktur masyarakat yang terdiri dari pelbagai etnik serta agama dan Pas merupakan parti yang sudah relevan serta boleh diterima oleh masyarakat dalam negara ini.

"Pas mempunyai potensi untuk menjadi sebuah parti Islam yang moden. Menyamakan parti Pas dengan Taliban dan yang seumpamanya merupakan satu kesilapan," katanya menerusi hantaran di Facebooknya pada Sabtu.

Jelas beliau, tanggapan bahawa Pas adalah sebuah parti yang tidak mempunyai ramai golongan teknokrat tidak benar malah parti itu mempunyai ramai pemimpin yang berpotensi dalam membangunkan negara.

Beliau berkata, Pas mempunyai ramai ahli daripada pelbagai bidang dan latar belakang, namun kebanyakannya tidak menonjol, sebaliknya berperanan di belakang tabir seperti terlibat dalam menyusun atur strategi untuk parti itu bergerak ke hadapan.

Katanya, beliau juga merupakan salah seorang yang pernah menjadi sebahagian daripada kumpulan berkenaan sebelum diketengahkan sebagai calon pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2018.

"Pas kini bukan lagi ‘parti kampung’ dan ia sebenarnya lebih dari hanya sekadar parti. Kami sudah berada sejauh ini dan akan terus bergerak ke hadapan.

"Pas juga bukanlah sebuah parti yang sempurna tetapi kami mempunyai ahli dan penyokong yang terdiri daripada pelbagai latar belakang yang mendukung, " ujarnya.

Post a Comment

0 Comments