PAS bukan parti kampung, ada ramai golongan teknokrat - Ahmad Samsuri


Kuala Terengganu: PAS bukan sebuah parti 'kampung' dan tidak mempunyai ramai golongan teknokrat sebaliknya parti itu mempunyai ramai pemimpin yang berpotensi dalam membangunkan negara.

Naib Presiden PAS, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, parti itu mempunyai ramai golongan teknokrat yang datang daripada pelbagai bidang dan latar belakang.

Katanya, PAS juga bukan sebuah parti yang sempurna tetapi parti itu mempunyai ahli dan penyokong yang terdiri daripada pelbagai latar belakang yang mendokong.

"Ada yang beranggapan, PAS sebuah parti yang tidak mempunyai ramai golongan teknokrat. Sebenarnya dalam PAS, kita mempunyai ramai ahli yang datang dari pelbagai bidang dan latar belakang.

"Namun, kebanyakan daripada mereka tidak menonjol ke depan sebaliknya amat berperanan di belakang tabir dan terlibat dalam menyusun atur strategi untuk PAS terus bergerak ke hadapan.

"Saya merupakan salah seorang yang pernah menjadi sebahagian daripada mereka sebelum diketengahkan sebagai calon pada PRN (Pilihan Raya Negeri) 2018," katanya menerusi Facebook miliknya, hari ini.

Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu berkata, parti itu juga tidak sama seperti parti ekstremis lain sebaliknya berpotensi menjadi sebuah parti Islam yang moden.

"Ada juga yang beranggapan PAS sebuah parti ekstremis dan mempunyai rasa prejudis lalu menyamakan PAS dengan parti Islam lain di dunia ini. Ini 100 peratus tidak benar sama sekali.

"Di Malaysia, kita amat memahami struktur masyarakat yang terdiri daripada kepelbagaian etnik serta agama dan PAS merupakan parti yang sudah relevan serta boleh diterima oleh masyarakat dalam negara ini.

"PAS mempunyai potensi untuk menjadi sebuah parti Islam yang moden. Menyamakan parti PAS dengan Taliban dan yang seumpamanya merupakan satu kesilapan.

"Kami amat memahami untuk menjadikan negara kita negara yang terbaik, kita semua perlu bekerjasama sebagai warganegara Malaysia," katanya.


Post a Comment

0 Comments