KUALA TERENGGANU, 17 Januari - Kerajaan negeri mengadakan Hari Pelaburan Terengganu yang dikenali sebagai TBMIC (Terengganu Business Meeting with Investor Community) untuk mempermudahkan dan mempercepatkan proses permohonan dalam usaha menarik pelabur ke Terengganu.
Menteri Besar, Dato Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata ia merupakan sebuah program pertemuan perniagaan bersama para pelabur yang bukan sahaja melibatkan MB, Exco Kerajaan Negeri dan Pegawai-pegawai Kanan.
Katanya, perjumpaan itu juga melibatkan pemegang taruh lain seperti agensi Kerajaan Persekutuan dan Negeri (MIDA, ECERDC, Mentri Besar Inc (MBI), Terengganu Inc (TI), PMINT, TSIS dan lain-lain pakar teknokrat.
"Sebanyak 12 pelabur dari pelbagai latar belakang industri yang disenarai pendek telah membentangkan cadangan projek dan pelaburan masing-masing dengan kriteria umum serendah RM50 juta sehingga beberapa billion ringgit untuk satu tempoh jangka masa panjang.
"Ia termasuk syarikat gergasi teknologi hijau antarabangsa, pembekal utama komponen kereta elektrik (EV) global, GLC negara seperti TNB Genco dan Petronas Gentari serta pelbagai lagi syarikat dari dalam dan luar negara," katanya dalam satu kenyataan di laman facebook rasminya hari ini.
Tambahnya, pihak panel memberi panduan dan penilaian awal potensi pelaburan-pelaburan tersebut dilaksanakan di samping mendapatkan maklum balas para pelabur untuk menjayakan projek mereka di Terengganu.
"Kejayaan TBMIC siri 1 ini akan disusuli dengan beberapa siri yang lain sebagai satu kaedah menarik pelabur berprofil tinggi dan menunjukkan keseriusan kita membawa agenda Terengganu Maju, Berkat, Sejahtera 2030.
"Semoga dipermudahkan usaha ini, insya-Allah," ujarnya.
0 Comments