Isu royalti jadi tumpuan sidang DUN Terengganu


KUALA TERENGGANU - Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu pada Rabu terus tertumpu mengenai isu tunggakan pembayaran royalti oleh kerajaan Pusat.

Beberapa Exco yang berhujah pada sesi soal jawab lisan mengetengahkan isu berkaitan kekangan kewangan yang dialami kerajaan negeri ketika ini disebabkan kelewatan pembayaran royalti tersebut.

Menyentuh mengenai isu itu, Dr Tengku Muhamad Fakhruddin Tengku Md Fauzi (Pas-Sura) mempersoalkan rasional di sebalik pemberian elaun RM300 sebulan yang diterima oleh guru-guru al-Quran yang mengajar di kampung ketika ini.

Menurutnya, jumlah tersebut dilihat tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan bulanan memandangkan keadaan semasa ekonomi yang semakin mencabar memerlukan sekurang-kurangnya bayaran minimum RM500 hingga RM1,000 bagi guru al-Quran.

"Jumlah gaji ini menyebabkan kurangnya permohonan daripada golongan muda yang berminat untuk menjadi guru al-Quran di kampung," katanya.

Menjawab persoalan dikemukakan, Datuk Satiful Bahari Mamat (Pas-Paka) merangkap Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri Terengganu berkata, jumlah tersebut tidak termasuk gaji guru al-Quran sebaliknya merupakan bayaran elaun bulanan.

"Kerajaan negeri boleh beri (naikkan elaun) sampai RM1,000, tapi harap kerajaan pusat bagi habis lah royalti itu," katanya.

Sementara itu, Maliaman Kassim (Ajil-Pas) selaku Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional berkata, pihaknya akan menambah peruntukan dalam tabung bantuan rakyat iaitu Tabung Darul Iman jika kerajaan pusat membayar wang royalti.

"Jumlah permohonan daripada rakyat (bagi mendapatkan bantuan Tabung Darul Iman) memang banyak dan ada beberapa kategori melalui tabung ini seperti sakit kronik dan bantuan perubatan.

"Kerajaan negeri akan menambah peruntukan dalam tabung ini untuk memastikan lebih ramai pesakit dan golongan memerlukan mendapat manfaatnya tanpa mengambil masa menunggu yang panjang," katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan lisan Mohd Zawawi Ismail (Bersatu-Telemong) mengenai masalah dialami rakyat di kawasannya setiap kali membuat permohonan daripada tabung berkenaan.

Kata beliau, banyak aduan diterima memberitahu bantuan yang diterima agak lewat sekali gus menjejaskan rawatan kesihatan yang diterima.

Post a Comment

0 Comments