KUALA TERENGGANU, 24 April - Kerajaan Negeri menggunakan dana sebanyak RM926,670 pada tahun 2022 bagi membaik pulih Taman Pertanian Negeri (TPN) Sekayu yang mengalami kerosakan akibat banjir.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, Kerajaan Negeri komited untuk mengembalikan semula kegemilangan taman terbabit yang pernah menjadi lokasi tumpuan pelancong di Hulu Terengganu.
Katanya, ketika ini Kerajaan Negeri menerusi agensi dan jabatan berkaitan sedang merangka pelan bagi membangunkan semula TPN Sekayu sebagai pusat agrotourism.
"Salah satu punca pengurangan pengunjung ke TPN Sekayu kerana banyak fasiliti rosak teruk akibat banjir besar pada Disember 2021 dan Februari 2022 sehinggakan sebahagian Taman Pertanian negeri itu terpaksa ditutup.
"Justeru itu, Kerajaan Negeri telah menyalurkan peruntukan RM926,670 ribu pada tahun 2022 bagi tujuan baik pulih kolam taman tema dan fasiliti yang rosak akibat banjir yang dijangka siap sepenuhnya pada 21 April 2024," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Mohd Zawawi Ismil (BERSATU-Telemong) yang ingin tahu apakah punca pengurangan pengunjung ke TPN Sekayu dan langkah Kerajaan Negeri untuk mengembalikan kegemilangan Sekayu dalam sesi soal lisan di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.
Dr Azman juga berkata, pajakan disambung kepada syarikat swasta sedia ada beroperasi di TPN Sekayu bagi mengendalikan program-program 'outdoor' dan perkhemahan oleh pihak sekolah, agensi dan jabatan serta kelab dan persatuan luar.
Jelasnya, kerajaan negeri akan meneliti kembali pelan agrotourism yang dapat diketengahkan oleh TPN Sekayu untuk menarik minat syarikat swasta atau pelabur dengan kelebihannya.
Tambah beliau, pandemik Covid-19 juga menyebabkan pengurangan drastik pengunjung ke taman negeri itu dan terdapat fasiliti utama rosak akibat serangan haiwan liar.
0 Comments