Pembangunan Insan Perlu Jadi Keutamaan Terengganu


KUALA TERENGGANU, 24 April - Pembangunan Modal Insan perlu menjadi agenda utama kerajaan negeri dan boleh mengambil contoh dari Korea Selatan dan Jepun yang telah berjaya membuktikan bahawa usaha itu dapat memajukan negara.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili berkata, pembentukan individu berketerampilan dan berkualiti akan memastikan Terengganu memiliki masyarakat yang maju, berkat dan sejahtera.

"Misi modal insan ini dijalankan adalah untuk membangunkan insan yang berpengetahuan, berkemahiran, inovatif, memiliki nilai jati diri, beretika, mempunyai pendidikan, terlatih dan mempunyai pekerjaan sewajarnya.

"Pembangunan modal insan bukan saja penting kepada pertumbuhan individu sahaja, malah ia juga penting untuk pertumbuhan masyarakat dan memberi kesan besar kepada pertumbuhan ekonomi negara (dan negeri khususnya)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Titah Ucapan Diraja Sempena Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu, di Wisma Darul Iman, di sini, semalam.

Mengulas lebih lanjut, Ir Saiful Azmi berkata itulah yang dilakukan oleh Jepun dan Korea Selatan kerana kedua-dua negara itu hanya memiliki aset material yang rendah tetapi berjaya mencapai kemajuan setanding negara-negara maju yang lain.

"Kejayan yang dicapai kedua-dua negara itu sering dijadikan model oleh negara lain, termasuk pesaing dalam menangani aspek nilai dan jati diri sebagai pemacu kepada pertumbuhan negara.

"Dengan modal insan yang tinggi, rakyat Jepun dan Korea Selatan berjaya membuka mata dunia terhadap kemajuan yang dicapai.

"Rakyatnya mempunyai kesetiaan yang tinggi bukan sahaja terhadap negara, malah pekerjaan. Sikap rakyat di kedua-dua negara ini patut dicontohi untuk turut serta memperkembangkan lagi sektor ekonomi negara," ujarnya.

Post a Comment

0 Comments