KUALA TERENGGANU: Kerajaan Terengganu masih menunggu baki pembayaran royalti petroleum atau Wang Ehsan sekurang-kurangnya RM700 juta yang belum dilunaskan Kerajaan Persekutuan bagi 2023.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata,setakat ini, Terengganu hanya menerima sebanyak RM802.2 juta royalti petroleum pada 2023.
Beliau berkata, jumlah itu berbeza berbanding anggaran asal royalti petroleum dalam Belanjawan 2023 berjumlah RM1.52 bilion.
"Daripada RM802.2 juta ini, sebanyak RM651 juta untuk emolumen manakala RM109 juta untuk 'deffered and scheduled payment' (pembayaran tertunda dan berjadual) dan RM42.1 juta pula bayaran balik hutang kerajaan Persekutuan dengan baki yang belum diberikan berjumlah sekurang-kurangnya untuk tahun 2023 sebanyak RM700 juta.
"Begitu juga pada tahun ini, Kerajaan Persekutuan membayar sebanyak RM301.7 juta berbanding anggaran RM762 juta untuk pemberian pertama iaitu masih kekurangan RM461 juta sehingga pemberian kedua pada September.
"Jumlah yang diterima ini adalah sebanyak RM172.3 juta untuk emolumen, RM103.1 juta untuk 'deffered and scheduled payment' dan RM26.3 juta untuk Bayaran Insentif Awal (BIA) Kajian Sistem Persaraan Perkhidmatan Awam," katanya.
Ahmad Samsuri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ru Rendang berkata demikian ketika sesi penggulungan pada Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu Ke-15 (Istiadat Pembukaan Penggal) di Wisma Darul Iman di sini hari ini.
Ahmad Samsuri berkata, keadaan itu sudah pasti menimbulkan gangguan kewangan kepada kerajaan negeri secara mengejut kerana hasil petroleum adalah hak negeri yang diterima sejak sekian lama dan perancangan negeri dibuat di atas asas ini.
"Persoalannya yang kita tidak dapat jawab hingga ke hari ini ialah kenapakah apabila berbeza sahaja fahaman politik maka terus ada keadaan sebegini?
"Inilah juga yang saya sebut di Dewan Rakyat pada 5 Mac lalu yang saya nak ulang pada hari ini bahawa sudah tiba masanya kita meninggalkan budaya politik diskriminasi akibat warna parti politik dan pilihan yang dibuat oleh rakyat dalam sesuatu proses demokrasi pilihan raya.
"Ini adalah satu rupa bentuk tajdid (reform) yang semestinya berlaku dalam negeri dan negara kita, jika kita bercakap ingin menjadi sebuah negara yang diyakini dan dihormati di peringkat antarabangsa," katanya.
0 Comments