Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, antara strateginya adalah melaksanakan program Ladang Kontrak di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dengan menetapkan inisiatif harga lantai kepada petani yang berdaftar sebagai peserta Ladang Kontrak.
Katanya, golongan terbabit juga diberi jaminan harga di peringkat ladang iaitu 10 hingga 20 peratus lebih tinggi daripada kos pengeluaran bagi komoditi sayur dan buah.
"Selain itu, Program Rakan Pemasar Kontrak Pemasaran (RPKP) di mana petani atau penanam boleh terus menjual kepada Rakan Pemasar, RPKP akan menjual terus kepada pengguna dengan tidak melalui orang tengah yang diselia oleh FAMA.
"Juga Program Jualan Terus Dari Ladang bagi memastikan penanam petani mendapat harga jualan yang baik dengan menjual terus kepada pengguna di outlet-outlet FAMA yang terpilih, " ujarnya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan lisan yang dikemukakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permaisuri, Mohd Yusop Majid pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Ke-15, di sini, hari ini.
Mohd Yusop bertanyakan mengenai apakah langkah-langkah yang telah dan akan dibuat oleh kerajaan negeri dalam menjaga hasil penanaman-penanaman sayur supaya harga hasil tanaman dapat dikawal sehingga tidak berlaku orang tengah yang meraih keuntungan sedangkan penanam yang menanggung rugi.
Katanya, kerajaan negeri membantu penanam yang mempunyai masalah logistik dan memasarkan hasil-hasil petani seperti sayur-sayuran, buah-buahan tanaman pelbagai melalui 40 Pusat Operasi FAMA di seluruh negara disokong dengan kemudahan 215 kenderaaan perdagangan, kemudahan bilik sejuk dan 1,592 outlet pemasaran yang telah dibangunkan oleh FAMA.
0 Comments