KUALA TERENGGANU: Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Menteri Besar Terengganu di kediaman rasmi di Seri Iman di sini, meriah dengan kehadiran masyarakat berbilang kaum.
Majlis yang bermula jam 11 pagi hingga 4.30 petang itu menyediakan pelbagai juadah seperti sate, nasi impit, ketupat, pulut, tapai, rendang ayam dan daging, lemang dan pelbagai jenis minuman.
Pengunjung juga tidak melepaskan peluang beramah mesra dengan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan isteri, Toh Puan Seri Tuan Faezah Tuan Abd Rahman.
Ahmad Samsuri berkata, pihaknya menjangkakan kehadiran lebih 20,000 tetamu ke majlis berkenaan.
"Selepas beberapa tahun kita tidak dapat menyambut hari raya sebegini, Alhamdulillah hari ini kita menerima kunjungan tetamu bertali arus dari jam 11 pagi tadi.
"Saya rasa rakyat di Terengganu gembira menyambut hari raya tahun ini dalam keadaan tidak ada kekangan apa-apa, Insya-Allah," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Ahmad Samsuri dan isteri turut menyampaikan duit raya kepada kanak-kanak yang hadir ke rumah terbuka berkenaan.
0 Comments