Terengganu terima royalti minyak RM301.7 juta

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Persekutuan telah membayar sebanyak RM301.7 juta royalti minyak pada tahun ini, kata Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.

Beliau bagaimanapun berkata, jumlah itu adalah sedikit berbanding anggaran RM762 juta untuk pemberian pertama.

“Jumlah yang diterima itu adalah sebanyak RM172.3 juta untuk emolumen serta RM103.1 juta bagi bayaran berjadual dan tertunggak.

“Selain itu, sebanyak RM26.3 juta pula adalah untuk Bayaran Insentif Awal (BIA) Kajian Sistem Persaraan Perkhidmatan Awam,” katanya berucap dalam sesi penggulungan di Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman di sini, semalam.

Berdasarkan rekod tahun 2023 pula, Kerajaan Persekutuan telah membayar sejumlah RM802.2 juta daripada anggaran asal RM1.52 bilion.

Ahmad Samsuri memaklumkan, bayaran balik hutang Kerajaan Persekutuan, dengan baki yang belum diberikan untuk tahun 2023 ialah sebanyak RM700 juta.

“Keadaan ini sudah pasti me­nimbulkan gangguan kewangan kepada kerajaan negeri secara mengejut kerana hasil petroleum adalah hak negeri yang diterima sejak sekian lama dan perancangan negeri telah dibuat di atas asas ini.

“Persoalan yang kita tidak dapat jawab hingga ke hari ini ialah, kenapakah apabila berbeza sahaja fahaman politik, maka terus ada keadaan sebegini.

“Budaya diskriminasi terpilih seperti ini adalah budaya lama kolot politik balas dendam, yang membawa negara kita ke belakang, dan jauh dari keharmonian kerana yang menjadi mangsa akhirnya adalah rakyat yang tidak berdosa,” katanya.

Beliau bagaimanapun menegaskan, Terengganu tidak berhasrat mempersalahkan atau memusuhi sesiapa dalam isu tersebut.

“Manusia yang waras akan tahu bahawa tiada faedah dan tiada manfaatnya untuk sesebuah kerajaan negeri bersifat keras atau bergaduh dengan kerajaan Pusat.

“Ini kerana kita mempunyai objektif yang sama untuk membangunkan negeri dan negara. Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara juga disumbangkan oleh negeri-negeri,” katanya.

Post a Comment

0 Comments