Terengganu kaya tiga eleman NR-REE dengan nilai komersial RM1 trilian


KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri perlu membuat pelan jangka sederhana dan jangka panjang bagi memastikan sumber unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) memberikan pulangan hasil yang tinggi untuk Terengganu.

Zaharuddin Zahid (Pas-Bukit Tunggal) berkata, Malaysia mempunyai simpanan yang besar bagi tiga elemen NR-REE yang di anggarkan bernilai 15.2 juta tan metrik dengan nilai komersial sebanyak RM1 trilion.

“Menurut Profesor Madya Mohd. Yusri Mohd Yunus dari Universiti Malaysia Pahang, NR-REE ini dijangka boleh mencapai harga sehingga RM2 juta setiap tan metrik dengan jumlah pasaran bernilai RM 809.6 Billion.

“Tiga element NR-REE yang banyak didapati di Terengganu, Kelantan, Perak, Pahang dan Kedah adalah seperti Praseodymium, Neodymium dan Dysprosium.

“Kesemua tiga elemen itu diperlukan dalam pembuatan magnet berkuasa tinggi yang menghasilkan motor elektrik untuk kegunaan kenderaan hibrid dan eletrik yang mempunyai permintaan yang sangat tinggi pada masa sekarang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Ucapan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin pada persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.

Tambahnya, industri huluan (up-stream) iaitu perlombongan dan industri pertengahan (mid-stream) iaitu pengabstrakan, hanyalah sebahagian kecil berbanding dengan nilai rantaian keseluruhan.

“Namun, ia amat penting untuk menyokong industri hiliran (down-stream) yang sangat bernilai tinggi.

“Oleh itu, Bukit Tunggal berharap kerajaan negeri akan memberikan perhatian yang serius terhadap sumber pendapatan baharu ini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mahukan penjelasan daripada kerajaan negeri mengenai status terkini berhubung Majlis Pembangunan Negeri Terengganu (MPNT).

Katanya, majlis itu diwujudkan bagi memastikan setiap pembangunan di seluruh negeri di bawah peruntukan Persekutuan dapat dijalankan secara sempurna dan dapat memberikan pulangan terbaik kepada rakyat.

“Majlis Pembangunan ini akan dipengerusikan secara bersama antara
Menteri Besar dan seorang menteri dari Pusat.

“Bukit Tunggal inginkan kepastian daripada pihak kerajaan negeri, siapakah wakil menteri dari pusat dan berapa kalikah MPNT ini telah bermesyuarat bagi memastikan projek-projek kerajaan pusat di Terengganu dapat berjalan dengan lancar,” katanya. 

Post a Comment

0 Comments