Kerajaan peruntuk RM60 juta naik taraf sistem bekalan air bersih


 KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM60 juta untuk kerja menaik taraf sistem bekalan air bersih di daerah Marang.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar, Hanafiah Mat, berkata peruntukan itu digunakan untuk pemasangan paip bersaiz 900 milimeter (mm) sepanjang 24 kilometer (km) bermula dari Loji Rawatan Air (LRA) Kepong II ke tangki imbangan dan tangki Gondang, Marang.

Katanya, kerja pemasangan paip di bawah program penambahan skop kerja di bawah Projek Skim Bekalan Air Kuala Terengganu Utara (KTU) itu sudah siap dilaksanakan pada pertengahan bulan lalu.

"Jumlah pengguna yang berdaftar dengan Syarikat Air Terengganu (SATU) di daerah Marang adalah sebanyak 31,000 akaun.

"Bekalan air bersih di daerah Marang bergantung sepenuhnya daripada LRA Kepong Satu dan Dua di Kuala Terengganu," katanya.

Terdahulu, Hanafiah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai berkata demikian ketika menjawab soalan lisan dikemukakan ADUN Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong, pada Persidangan DUN, hari ini.

Hanafiah berkata, pelaksanaan projek pemasangan paip retikulasi baharu untuk daerah Kuala Terengganu dan Marang dilaksanakan bermula Jun 2022 dijangka siap sepenuhnya bukan depan.

Katanya, keperluan bekalan air bersih semasa di daerah Marang adalah sebanyak 80 Juta Liter Sehari (JLH).

"Setakat ini bekalan air bersih sedia ada adalah sebanyak 65 JLH yang dibekalkan melalui tiga tangki utama iaitu daripada tangki Belat (16 JLH), tangki Gondang (17 JLH) dan tangki MIEL (32 JLH).

"Kerajaan negeri bercadang untuk membina LRA baharu berserta sistem agihan di daerah Marang," katanya.

Post a Comment

0 Comments