KDNK pertanian Terengganu catat peningkatan terbesar


 KUALA TERENGGANU: Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sektor pertanian Terengganu mencatat peningkatan terbesar berbanding sektor lain dengan kenaikan sebanyak 7.4 peratus, menyumbang nilai tambah sebanyak RM2.9 bilion.


Pengerusi Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri Terengganu, Dr. Azman Ibrahim berkata, KDNK Terengganu bagi tahun 2023 berjumlah RM38.2 bilion, berbanding RM37.4 bilion pada tahun 2022, menunjukkan peningkatan sebanyak 2.3 peratus.

“Sektor perkhidmatan merupakan penyumbang terbesar KDNK dengan 52 peratus, diikuti sektor pembuatan sebanyak 36.9 peratus, dan sektor pertanian sebanyak 7.5 peratus. 

“Baki disumbangkan oleh sektor pembinaan dengan 3 peratus serta sektor perlombongan dan pengkuarian dengan 0.5 peratus,” katanya dalam satu kenyataan.

Dr. Azman turut menjelaskan bahawa sektor perlombongan dan pengkuarian mencatat peningkatan sebanyak 5.3 peratus, sektor perkhidmatan meningkat 3.1 peratus, sektor pembinaan meningkat 1.6 peratus, dan sektor pembuatan meningkat 0.2 peratus.

Sementara itu, kata Azman, memartabatkan sektor pertanian dari suatu sektor yang tidak dipandang sebelah mata kepada sektor yang menjadi penyumbang utama kepada peningkatan KDNK Negeri Terengganu bukanlah kerja yang boleh dituai hasilnya dalam masa singkat. 

“Usaha keras dalam tempoh lima tahun terakhir telah mengangkat sektor pertanian dari prestasi KDNK -2.5 peratus pada tahun 2018 kepada 6 peratus pada tahun 2019, dan kini sektor pertanian mencatat peningkatan terbesar bagi tahun 2023 dengan menyumbang sebanyak 7.5 peratus kepada KDNK negeri. 

“Walaupun masih rendah dari sasaran 10 peratus, graf peningkatan menunjukkan unjuran positif setiap tahun,” katanya.

Post a Comment

0 Comments