KUALA TERENGGANU: Mesyuarat Jawatankuasa Padi Negeri Terengganu pada hari ini memutuskan untuk menarik balik larangan penjualan hasil padi dari negeri ini ke kilang padi di negeri lain.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr. Azman Ibrahim berkata ia dalam rangka mewujudkan persaingan yang lebih sihat dalam kalangan pengusaha-pengusaha kilang padi yang ada di negeri ini.
“Secara amnya, harga belian padi di Terengganu agak rendah berbanding di negeri lain,” jelasnya pada catatan di laman Facebook beliau.
Katanya, banyak kilang padi di Terengganu membeli padi dengan harga lantai RM1,300/mt dalam masa yang sama harga padi di negeri lain sudah mencecah RM1,800/mt.
Menurutnya, Kementerian Pertanian hanya menetapkan harga lantai padi RM1,300/mt tanpa penetapan harga siling.
Tambahnya, terpulang kepada pihak kilang untuk penetapan harga asalkan jangan lebih rendah daripada harga lantai.
Beliau berkata, selaras dengan kenaikan pelbagai kos mengusahakan sawah yang dipikul oleh pesawah, mereka berhak mendapat harga yang lebih tinggi.
Jelasnya lagi, peraturan yang melarang penjualan padi ke negeri lain memberikan status quo kepada pengilang padi Terengganu untuk kekal dengan harga yang relatif rendah berbanding negeri lain.
“Kerajaan perlu memberikan ruang yang lebih baik kepada pesawah kita,” ujarnya yang juga ADUN Jabi.
Kata beliau, persaingan sihat perlu dibuka dalam kalangan pengusaha kilang padi untuk mereka menawarkan tawaran yang terbaik dalam rangka menarik pesawah supaya menjual padi ke kilang mereka. – HARAKAHDAILY
0 Comments