KUALA TERENGGANU, 6 September- Kemelut isu penyertaan atlet terjun wanita Muslim Terengganu di Sukan Malaysia (SUKMA) ke-21 Sarawak telah diselesaikan dengan baik.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Terengganu, Hishamuddin Abdul Karim berkata, kerajaan negeri juga telah menganjurkan supaya persatuan lebih giat mencari atlet-atlet dengan menepati syarat ditetapkan.
"Kita telah harmonikan keadaan tersebut. Persatuan Renang Amatur Terengganu (PRAT) kebanyakannya dipimpin 'non Muslim' dan kesalahan ini kali pertama, jadi kita tidak ambil sikap menghukum dan bila berlaku perkara ini mereka mula faham, dari situ juga apabila kita menghalang bagi SUKMA akan datang, mereka sudah nampak dan tidak timbul lagi persoalan.
"Malah, kerajaan negeri sudah memaklumkan kepada mereka supaya berusaha menyediakan atlet-atlet renang 'non Muslim', malah kita akan bantu berada dalam program pembangunan sebagaimana atlet yang lain, samalah juga dengan atlet gimnastik.
"Kita tidak menghalang 'non Muslim' kerana garis panduan kita membenarkan dan kita tidak halang sebab pengamalan mereka, hak mereka. Bagi (atlet) Muslim pula, adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk kita mendidik dan menjaga maruah mereka, itu adalah sikap kita," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan pelancaran pasukan Terengganu Turtles bagi saingan Liga Premier Sepak Takraw (STL Premier) 2024, di sini semalam.
Tambahnya, kerajaan negeri tiada masalah dan akan membenarkan sebarang acara sukan dilaksanakan mengikut syarat yang dibuat.
"Dalam masa yang sama, kalau pihak persatuan renang akuatik negara (Persekutuan Renang Malaysia) dapat mempertimbangkan pakaian yang lebih mesra syariah, tidak mustahil untuk kita mempertimbangkan kembali (perkara ini), tiada masalah," katanya. - TRDI
0 Comments