Tafsiran Merdeka Perlu Ikut Acuan Islam


 KEMAMAN, 5 September - Erti kemerdekaan sebenar perlu dihayati dan difahami mengikut acuan Islam bukan berpandukan kaca mata barat yang menterjemahkan merdeka adalah kehidupan yang bebas tanpa arah dan panduan.

Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, gagal mentafsirkan makna kemerdekaan sebenar akan mengakibatkan objektif kemerdekaan yang disambut setiap tahun tidak sampai kepada tujuannya.

"Tema yang dipilih pada tahun ini 'Jiwa Merdeka" ertinya sangat mudah, kita mahu jiwa yang merdeka tetapi tafsirannya sudah tentu jauh berbeza dari sudut orang Melayu Islam berbanding dengan mereka yang ada di bumi Jepun, Korea, Eropah, Amerika ataupun Britain kerana jiwa merdeka bagi mereka adalah kebebasan tanpa sempadan.

"Berbeza dengan kita yang memililiki sempadan, apa yang nak sebut bahawa tanggungjawab besar yang ada pada kita hari ini ialah memilih bagaimana peranan untuk membangunkan negara kita tersendiri.

"Mungkin kita terkesima dan rasa teruja dengan segala bentuk pembangunan dan kemewahan negara-negara di Eropah, Scandinavia, Korea mahupun Jepun tetapi akhirnya cara bagaimana kita ingin urus tadbir negara adalah berada di tangan kita bukan merujuk kepada negara-negara yang lain," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis ramah mesra beliay bersama penjawat awam daerah Kemamn, di Arena Square Chukai, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad Samsuri berkata generasi hari ini perlu menghargai segala jasa pejuang kemerdekaan dahulu.

"Semua pihak dan kalangan orang terdahulu telah memperjuangkan kemerdekaan dari sekecil-kecil perkara sampai kepada sebesar-besarnmya sehingga pada tahun 1957 kita menyambut kemerdekaan.

"Kemerdekaan ini juga tidak memberi apa-apa erti atau makna sekiranya kita tidak memandu negeri dan negara kita untuk merdeka sepenuhnya," ujarnya. -TRDI

Post a Comment

0 Comments