KUALA TERENGGANU: Semangat kemerdekaan yang terus subur dalam jiwa rakyat Malaysia perlu dijadikan sebagai usaha membina negara yang lebih maju, aman dan makmur.
Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, saban tahun, tanggal keramat 31 Ogos disambut dengan penuh gilang-gemilang sebagai tanda kesyukuran atas nikmat keharmonian dan keamanan hasil perjuangan serta pengorbanan nenek moyang dahulu.
“Hari ini, genap 67 tahun kita mengecapi kemerdekaan. Sepanjang tempoh ini, kita telah melalui pelbagai cabaran dan rintangan.
“Sebagai rakyat Malaysia, marilah kita terus perkukuhkan ikatan antara semua bangsa demi keharmonian dan kesejahteraan masyarakat dan negara,” katanya dalam perutusan kemerdekaan.
Menurutnya, kemerdekaan bukan bermaksud kita bebas daripada penjajahan semata-mata, namun yang lebih penting adalah bebas daripada segala bentuk persengketaan.
Justeru, beliau menyeru supaya jauhi diri daripada perasaan hasad dengki, prasangka dan perpecahan yang hanya akan merugikan bangsa dan negara kita.
“Kita juga harus sentiasa berusaha untuk mempertingkatkan diri dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran relevan dalam menghadapi cabaran dunia yang semakin kompleks dan dinamik.
“Hanya dengan pemikiran yang matang dan berwawasan, kita mampu membawa kecemerlangan kepada Negeri Terengganu dan Malaysia amnya,” tambahnya.
Beliau juga menyeru kepada semua rakyat Terengganu untuk bersama-sama zahirkan semangat kemerdekaan ini dengan mengibarkan Jalur Gemilang di rumah, pejabat, premis perniagaan dan lain-lain.
“Biarlah bendera kita berkibar megah sebagai simbol kecintaan kita kepada tanah air.
“Semoga semangat kemerdekaan akan terus subur dalam jiwa kita dan sentiasa berusaha untuk membina negara yang lebih maju, aman dan Makmur,” ujarnya. – UTUSAN
0 Comments