KUALA TERENGGANU, 16 September - Petronas menaja seramai 105 anak Terengganu cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi di bawah Program Penajaan Pendidikan PETRONAS (PESP) pada tahun ini.
Salah seorang penerima, bekas pelajar Sekolah Kebangsaan Menengah IMTIAZ Yayasan Kuala Terengganu, Aleeya Raihanah Roslan, 18, bukan sahaja memperoleh keputusan SPM semua A, malah berstatus hafizah Al-Quran pada umur 16 tahun dan juga dinobatkan sebagai Tokoh Ulul Albab.
Berkongsi cerita, anak kelahiran Bukit Payong, Manir itu pernah hampir putus asa kerana tidak mampu mengimbangkan masa untuk akademik dan hafaz Al-Quran.
Katanya, selain itu masalah kewangan setiap bulan adalah biasa buat dirinya yang membesar dibawah jagaan nenek.
"Pernah bertahan dengan RM3 sahaja sebulan menjadi perkara biasa kerana situasi kewangan ibu yang merupakan seorang guru di Sekolah Kebangsaan Rendah Serada Terengganu.
"Rutin berpuasa pada setiap hari Isnin dan Khamis serta tidak menghampiri kantin ataupun koperasi adalah antara cara-cara saya mengawal perbelanjaan," ujarnya.
Aleya dan ibunya, kini mampu mengukir senyuman apabila dia terpilih mendapat tajaan PESP dan bersedia mengubah kehidupan mereka sekeluarga apabila berjaya kelak.
Anak sulung daripada empat beradik itu sedang melakukan persediaan pembelajaran ijazah kewangan di Kolej Yayasan UEM (KYUEM) sebelum menyambung pelajarannya di United Kingdom yang ditawarkan oleh PETRONAS.
Sementara itu, Muhammad Farid Latif yang merupakan bekas pelajar Sekolah Berintegrasi Batu Rakit, berjaya menghafaz 30 juzuk empat bulan sebelum menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia 2023.
Dia berasal dari Bandar Almuktafi Billah Shah, Dungun Terengganu kini menyambung pengajian di Universiti Tekonologi PETRONAS (UTP) di dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal.
Anak Bongsu dari tujuh beradik itu berkata sejak kecil dia tertarik dengan kerja bapanya yang merupakan pembantu jurutera mekanikal di JKR Kuala Terengganu.
"Saya masih ingat semasa ayah menyelia projek jambatan di Tasik Kenyir saya menjadi semakin berminat dengan bidang tersebut.
"Minat semakin mendalam apabila terpilih menyertai program Unlocking True Potentital di Universiti Teknologi PETRONAS pada 2023.
"Dari situ minat terhadap bidang mekanikal makin bertambah melihat robotik," ujarnya.
Terdahulu, Petronas mengumumkan penajaan biasiswa bernilai RM320 juta buat 600 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 dari seluruh negara.
Pengerusi PETRONAS Tan Sri Mohd Bakke Salleh berkata pemilihan dibuat daripada 5,847 pemohon, yang mana penerima dinilai berdasarkan kecemerlangan akademik, potensi kepimpinan dan penglibatan aktif mereka dalam aktiviti kokurikulum.
"Para penerima biasiswa akan melanjutkan pelajaran mereka di universiti tempatan dan antarabangsa terkenal termasuk di Amerika Syarikat, United Kingdom, Australia, Korea Selatan dan Jepun," ujarnya.
Dalam pada itu, daripada jumlah keseluruhan penerima , 105 adalah pelajar dari Terengganu yang cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023. - TRDI
0 Comments