Terengganu Inc sasar pendapatan RM1.8 bilion tahun ini

KUALA TERENGGANU: Syarikat pelaburan induk strategik Kerajaan Terengganu, Kumpulan Terengganu Inc menyasar pendapatan sebanyak RM1.8 bilion pada tahun ini dengan peningkatan 24 peratus iaitu RM358 juta berbanding tahun lalu.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pencapaian keseluruhan kumpulan tersebut menunjukkan peningkatan bermula dari tahun 2018 dalam jumlah hasil kumpulan secara keseluruhannya. 

Menurutnya, pendapatan yang direkodkan  tahun 2018 sebanyak RM964 juta telah meningkat sebanyak RM558 juta atau 58 peratus kepada RM1.5 bilion pada tahun 2023.

Katanya, pencapaian yang ditunjukkan Kumpulan Terengganu Inc dalam tempoh tersebut amat membanggakan.

“Jika dilihat daripada pencapaian keseluruhan Kumpulan Terengganu Inc, bermula dari tahun 2018, terdapat peningkatan dalam jumlah hasil kumpulan secara keseluruhannya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis ‘Terengganu Inc Group Corporate Directors Programme’ 2024  di  sini, malam tadi.

Ahmad Samsuri memberitahu, keuntungan sebelum cukai pada tahun ini pula dianggarkan mencecah RM100 juta berbanding kerugian sebelum cukai sebanyak RM43 juta tahun 2018.

Selain itu, tambahnya, keuntungan sebelum cukai sebanyak RM78 juta dicatatkan pada tahun 2021, RM76 juta (2022) dan RM46 juta  (2023).

“Kumpulan Terengganu Inc telah dan akan mengambil beberapa langkah signifikan bagi memastikan keberhasilan keuntungan yang berterusan,  dalam usaha untuk kekal relevan di dalam era kelestarian ini,” ujarnya.

Beliau berkata,  perbelanjaan menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) pula, Kumpulan Terengganu Inc telah membelanjakan sejumlah RM7.3 juta dalam enam bulan pertama tahun ini.

Jelasnya, kumpulan tersebut telah menjadi penyumbang kepada program biasiswa Yayasan Terengganu (YT) -TI ‘Young Talent Scholarship Programme’ yang berjumlah keseluruhan RM500,000 setahun yang dilaksanakan bagi tahun ke tiga pada tahun ini.

“Bagaimanapun  jumlah tajaan biasiswa  tersebut untuk tahun pengajian  2025/26  akan dinaikkan sebanyak RM500,000 lagi, menjadikan jumlah bantuan itu sebanyak RM1 juta setahun,” katanya. – UTUSAN

 

Post a Comment

0 Comments