KUALA TERENGGANU - Program solat hajat dan munajat secara besar-besaran yang dianjurkan kerajaan negeri Terengganu di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di sini sebagai usaha bagi memastikan negeri itu menerima bayaran royalti petroleum oleh kerajaan Pusat tanpa sebarang gangguan.
Program yang diadakan sempena Majlis Perasmian Karnival Indahnya Hidup Bersyariat pada malam Jumaat itu dihadiri kira-kira 10,000 peserta dari seluruh negeri Terengganu.
Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, langkah itu dilakukan bagi memastikan urusan perundingan penyaluran royalti dipermudahkan dan berjalan lancar.
"Kita juga bermunajat agar dilembutkan hati pihak di luar sana sehingga tiada lagi gangguan-gangguan terhadap hak-hak dianugerahkan ALLAH SWT kepada negeri dan rakyat Terengganu seperti royalti petroleum yang diterima Terengganu sejak 1978.
"Pesanan kasih sayang daripada saya kepada mereka dil uar sana, ingatlah bahawa kita semua bernafas dengan udara milik ALLAH, berpijak atas bumi milik ALLAH, kuasa dianugerahkan oleh ALLAH SWT, sama ada kita ataupun mereka di luar sana adalah milik ALLAH. Akan sampai waktunya kita akan menghadap ALLAH SWT," katanya ketika berucap pada majlis tersebut.
Ahmad Samsuri berkata, walau apapun yang berlaku, kerajaan negeri tidak akan berhenti daripada menuntut tunggakan pembayaran penuh wang royalti minyak Terengganu.
Katanya, pihak berkenaan juga tidak akan terlepas daripada di soal oleh ALLAH SWT atas apa yang dilakukan terhadap hak rakyat di negeri itu.
"Akan sampai waktu dan ketikanya kita akan ditanya mengenai 'kerja buat' kita sebagai pemimpin sama ada di peringkat negeri, nasional, atau antarabangsa.
"Ketika waktu itu jawablah kita dihadapan ALLAH SWT atas apa jua kecurangan dan kelemahan yang kita laksanakan kepada rakyat yang kita pimpin sama ada di peringkat negeri, negara atau antarabangsa," katanya lagi.
Ahmad Samsuri ketika persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Julai lalu berkata, hasil rundingan dibuat dengan Kerajaan Persekutuan sebelum ini membolehkan kerajaan negeri mendapatkan kelulusan wang royalti berjumlah RM792.32 juta.
Katanya, setakat ini kerajaan negeri masih belum menerima baki royalti petroleum sebanyak RM367.15 juta daripada keseluruhan RM792.32 juta yang diluluskan Kerajaan Pusat itu.
Jelas beliau, berdasarkan anggaran keseluruhan, wang royalti sepatutnya diterima oleh kerajaan negeri pada 2023 dan 2024 masing-masing sebanyak RM1.524 bilion.
Bagaimanapun, katanya, kerajaan negeri hanya menerima sejumlah RM802.18 juta sahaja sepanjang tahun lalu. - Sinar Harian
0 Comments