Teks ucapan MB Terengganu, YAB Dato' Seri Dr. Ir Ahmad Samsuri Mokhtar sempena Majlis Perasmian Karnival Indahnya Hidup Bersyariat

 

Alhamdulillah, setinggi-tinggiucapan syukur kita panjatkankehadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurniaan-Nya dapatlah kita semua berkumpuldisini pada malam ini dalamKarnival Indahnya Hidup Bersyariat.

Kepada kita semua sangatlah jelas bahawa kewujudan kita di atas muka bumi ini untuk pengabdian diri kepada Allah SWT sebagaimana Surah Az-Zariyat ayat 56 yang selalu kita baca.

(Ayat Quran)

Dan aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supayamereka mengabdi kepada-Ku.

(Surah Az-Zariyat ayat 56.)

Atas tujuan inilah, sebagai hamba-Nya kita perlu berusaha semampunya untuk memastikan setiap aspek kehidupan kita mesti mengikuti aturan atau syariat Allah SWT.

Kita berusaha mengikuti syariat-Nya dalam setiap kelipan mata yang memandang, setiap lafaz getaran bibir berbicara, setiap gerak sentuhan jari, setiap langkahan kaki dan semua perbuatan dalam kerangka hamba-Nya.

Karnival Indahnya Hidup Bersyariah pada hari ini juga merupakan salah satu daripada proses pendidikan dan kempen yang dijalankan oleh kerajaan dalam memugarkan lagi pemerkasaan syariah di Terengganu. Proses kesedaran ini akan dilaksanakan secara berterusan dengan penuh kesabaran dan hikmah.

Apa jua cabaran yang datang, kita tidak boleh berganjak mengajak pemimpin keseluruhannya dan rakyat yang ada untuk benar-benar tunduk dan taat kepada Allah SWT.

Jika kita tidak dapat berlari, kita kena berjalan. Jika tidak dapat berjalan, kita akan merangkak. Jika pun tidak dapat merangkak, kita akan tetap bergerak seinci demi seinci, walau terpaksa menempuh masa yang panjang bagi memperkasakan syariat Islam di Terengganu yang tercinta ini.


Hadirin dan hadirat sekalian,

 

Tajuk kedua kita berkumpul pada malam ini adalah untuk kita sama-sama bermunajat kepada Allah SWT supaya negeri kita ini sentiasa dalam limpahan rahmat Allah jua, supaya kita senantiasa diberikan keampunan oleh Allah SWT, seterusnya kita dihindari daripada kalangan yang cuba menzalimi kesejahteraan rakyat dan negeri ini dan seterusnya kita dijauhi daripada mereka yang menunjukkan perasaan cemburu terhadap kita semua.

Kita juga bermunajat agar dilembutkan hati pihak di luar sana sehingga tiada lagi ganguan-ganguan terhadap hak-hak yang dianugerahkan oleh Allah SWT kepada negeri dan rakyat Terengganu seperti royalti petroleum yang diterima oleh Negeri Terengganu sejak tahun 1978.

Pesanan kasih sayang daripada saya kepada mereka di luar sana, ingatlah bahawa kita semua bernafas udara milik Allah. Kita berpijak di atas bumi milik Allah. Kuasa yang dianugerahkan oleh Allah Taala kepada kita semua, sama ada kita ataupun mereka di luar sana adalah milik Allah. Akan sampai waktu dan ketikanya kita akan mengadap Allah. Akan sampai waktu dan ketikanya kita akan ditanya akan kerja buat kita sebagai pemimpin sama ada di peringkat negeri ataupun di peringkat nasional ataupun antarabangsa.

Pada waktu itu jawablah kita dihadapan Allah di atas segala apa jua kecurangan dan kelemahan yang kita laksanakan kepada rakyat yang kita pimpin sama ada di peringkat negeri ataupun di peringkat negara ataupun antarabangsa.

Betapa bermula pada tahun 2023, terimaan royalti petroleum kita tersekat-sekat sehinggakan pelbagai projek yang dirancang laksana oleh Kerajaan Negeri dan program yang berkait dengan rakyat tidak dapat berjalan dengan sempurna.

Dalam hal ini, sesekali pun saya tidak maksudkan mengenai projek pembangunan di bawah Rancangan Malaysia dan juga bukanlah berkenaan dengan projek rolling plan di bawah pelaksanaan Kerajaan Persekutuan yang Alhamdulillah dapat berjalan seperti biasa.

Tidakkah mereka di nun sana mempunyai sedikit perasaan ihsan sebagaimana yang dilaung-laungkan apabila melihat terencatnya pelbagai projek dan program yang terganggu di Negeri Terengganu ini akibat dipayahkan penyaluran hasil negeri royalti petroleum ini.

Lihatlah kesannya kepada projek dan pembangunan seperti pembinaan kluster perumahan rakyat, bantuan kepada mereka yang ingin meneruskan perniagaan, bantuan kepada sukan, belia, bengkel kemahiran, bantuan kesihatan kepada pesakit kronik, bantuan kepada OKU, bantuan pendidikan dan lain-lain program yang ingin kita laksanakan termasuklah Tafaqquh Fiddin yang sedikit sebanyak akan terganggu dan terencat akibat daripada perbuatan mereka ini.

Tidakkah mereka rasa sedikit perasaan ihsan dan sedar akan kelemahan yang telah mereka ciptakan ini.

 

Hadirin dan hadirat sekalian,


Moga-moga majlis kita pada malam ini diberkati oleh Allah SWT dan dibukakan pintu hati mereka supaya sedar akan kelemahan selama ini dan kembalilah ke jalan yang benar dan sepatutnya.

Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya merasmikan Karnival Indahnya Hidup Bersyariat, semoga negeri kita maju, berkat dan sejahtera. Sekian.


Post a Comment

0 Comments