Kemajuan Projek ECRL Di Terengganu Capai 86 Peratus

KEMAMAN, 4 September- Kerja-kerja pembinaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di negeri ini sudah mencapai kemajuan sebanyak 86 peratus setakat ini.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pembinaan projek mega di Negeri Terenganu itu disifatkan paling pantas berbanding negeri-negeri lain yang turut terbabit dengan projek ECRL iaitu Kelantan, Pahang dan Selangor.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak Malaysia Rail Link (MRL), China Communications Construction Sdn Bhd (CCC) dan semua agensi kerajaan negeri yang telah berusaha memastikan projek ini satu realiti dalam tempoh yang paling cepat berbanding dengan tempat-tempat yang lain. 

"Saya percaya dengan keupayaan yang dimiliki MRL dan rakan kontraktor mereka mampu menyiapkan projek ini mengikut jadual yang ditetapkan, " ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke dua stesen ECRL iaitu Chukai dan Kemasik di sini, hari ini.

Mengulas lanjut katanya, kerajaan negeri akan memastikan Pembangunan Berorientasikan Transit (TOD) di kawasan sekitar enam stesen ECRL di negeri ini dapat disiapkan pada tempoh masa yang sama.

"Kita tidak mahu apabila ECRL siap kita, kita belum buat apa-apa lagi untuk TOD.

"Sebab itulah kita telah mengadakan perbincangan di peringkat kerajaan negeri pagi tadi menerusi Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) dan selepas ini saya akan turun ke daerah-daerah lain untuk meninjau reka bentuk stesen dan perkara- perkara lain," ujarnya.

Katanya, komponen TOD merangkumi pelbagai perkara termasuk komersial dan bukan komersial yang boleh disertai oleh rakyat termasuk ahli perniagaan untuk memanfaatkan ECRL secara maksimum bagi menaja ekonomi negeri. 

"Ini antara perkara-perkara yang kita rangkakan di sekitar kawasan ECRL supaya ECRL ini bukan sahaja menjadi satu jaringan pengangkutan yang digunakan untuk penumpang dan kargo semata-mata tetapi memberi pulangan kepada negeri yang akhirnya kembali kepada rakyat. - TRDI

 

Post a Comment

0 Comments