Azizulhasni menang gangsa keirin trek Jepun


 PETALING JAYA: Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang mempamerkan aksi konsisten apabila membawa pulang pingat gangsa menerusi acara keirin dalam Piala Trek Jepun II, hari ini.

Azizulhasni lebih dikenali The Pocket Rocketman membawa pulang gangsa kedua di kejohanan tersebut selepas terpaksa akur dengan kehebatan pelumba tuan rumah, Kaiya Ota yang memenangi emas dan perak dimenangi rakan sepasukannya, Kento Yamasaki.

Seorang lagi wakil negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom menamatkan saingan di tempat kelapan.

Semalam, Azizulhasni meraih gangsa menerusi acara pecut selepas juara menjadi milik pemenang pingat emas Sukan Asia Hangzhou 2022, Kaiya manakala perak dimenangi rakan sepasukannya, Yuta Obara.

Ia adalah perlumbaan kompetitif di luar negara pertama buat Azizulhasni sejak pelumba berusia 36 tahun itu meraih gangsa acara keirin pada Kejohanan Kebangsaan Australia 2024, awal Mac lalu.

Bagi acara keirin wanita menyaksikan wakil negara, Nurul Izzah Izzati menamatkan perlumbaan di tempat ketujuh. 

Post a Comment

0 Comments