107 petugas kebersihan MBKT terima insentif RM300


 KUALA TERENGGANU - Seramai 107 petugas kebersihan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) yang menguruskan kutipan sampah sempena Aidilfitri baru-baru ini menerima insentif RM300 seorang.

Exco Kesihatan, Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Terengganu, Datuk Wan Sukairi Wan Abdullah, insentif tersebut disampaikan bagi menghargai jasa mereka yang bertungkus-lumus memastikan keadaan persekitaran terjaga sepanjang perayaan itu.

Menurutnya, golongan tersebut disifatkan sebagai 'wira tidak didendang' yang telah mengorbankan sebahagian masa untuk memastikan umat Islam menyambut Aidilfitri dalam persekitaran yang baik.

"Hasil ini dicapai kerana perancangan strategik oleh pihak MBKT menyebabkan lokasi di kawasan pengurusan sentiasa bersih dan ceria," katanya ketika ditemui selepas menyampaikan insentif dan merasmikan sambutan Aidilfitri kakitangan MBKT dekat sini malam Selasa.

Wan Sukairi berkata, secara purata sebanyak 450 tan metrik sampah dikutip setiap hari sepanjang Ramadan dan Aidilfitri lalu.

Katanya, jumlah itu meningkat berbanding jumlah direkodkan pada bulan biasa iaitu sebanyak 350 tan metrik setiap hari.

"Jumlah maksimum sampah yang direkodkan pula sebanyak 541 tan metrik iaitu sehari sebelum Hari Raya Aidilfitri pada 9 April lalu," ujarnya.

Jelas beliau, buat masa ini pengurusan sampah oleh MBKT meliputi lima daerah iaitu Kuala Terengganu, Kuala Nerus serta sebahagian Marang, Hulu Terengganu dan Setiu.

Sementara itu, Datuk Bandar MBKT, Datuk Rosli Latif berkata, pihaknya amat menghargai jasa semua pekerja pembersihan yang sanggup bekerja bersengkang mata dari malam raya hingga ke pagi Syawal.

Katanya, beberapa persiapan telah dibuat sejak awal bagi memastikan proses pengurusan sampah berjalan lancar.

"Kita telah menjangka pertambahan sampah dan menyediakan 10 pelan strategik yang diuruskan Jabatan Kesihatan Persekitaran MBKT.

"Antaranya dengan menggunakan tong roro di lokasi hot spot, penyusunan semula jadual kutipan sampah dan memaksimumkan penggunaan jentera serta peralatan sampah agar jadual kutipan tidak tergendala," katanya.

Post a Comment

0 Comments