KUALA TERENGGANU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan perjumpaan tertutup bersama Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, dan menghadiri taklimat berhubung pembangunan negeri Terengganu di Wisma Darul Iman, di sini, petang ini.
Ketibaan Anwar pada 3.37 petang disambut Ahmad Samsuri, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil.
Mengiringi Anwar ke taklimat itu ialah Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli; Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, serta barisan exco kerajaan negeri.
Taklimat yang berlangsung kira-kira satu jam 15 minit itu, turut disertai Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.
Anwar selepas ini dijadualkan hadir ke Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI 2024 peringkat negeri Terengganu di perkarangan Kompleks Sukan Negeri, Kuala Nerus.
0 Comments