KUALA TERENGGANU: Enam cef Hotel Paya Bunga di sini mencipta sejarah cemerlang apabila mengungguli tujuh kategori dalam World Chefs Championship 2024 di Johor, baru-baru ini.
Pengurus Besar Hotel Paya Bunga, Abdul Hadi Alias berkata, kesemua cef tersebut berjaya mengalahkan 2,100 peserta yang lain dalam kejohanan itu.
Menurutnya, antara negara yang menghantar penyertaan ialah dari China, Hong Kong, Taiwan, Taipei, Kanada dan Malaysia.
“Pada tahun ini, sebanyak 20 kategori utama dipertandingkan antaranya pastri, menu Melayu, Cina, Barat, ukiran buah serta seni kopi dan kita bertuah kerana telah memenangi emas dalam beberapa kategori ini.
“Kejayaan itu membuktikan kesungguhan cef-cef hotel tersebut dalam menyediakan perkhidmatan dan hospitaliti yang berkualiti kepada pelanggan terutama aspek penyediaan makanan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, hari ini.
Cef Hotel Paya Bunga yang melakar kemenangan tersebut ialah Rizal Md Dali, 43; Muhammad Yusof Zulkifli, 32; Muhammad Helmi Hakim Yusof, 25; Amirul Asyraf Yusof, 20 dan Muhammad Azri Iskandar Abdul Aziz, 20.
Kejohanan tersebut adalah acara tahunan yang dianjurkan oleh Persatuan Jurumasak Malaysia (MCMA) dan disokong oleh Tourism Johor.
Mengulas lanjut, beliau berkata, kejayaan tersebut adalah pengiktirafan terhadap bakat dan kemahiran yang dimiliki oleh barisan cef Hotel Paya Bunga yang setanding dengan cef antarabangsa.
“Kejayaan itu diharap dapat meningkatkan motivasi kesemua cef tersebut untuk terus menambah baik perkhidmatan dan kepakaran mereka pada masa akan datang.
“Kejayaan ini juga diharap dapat melonjakkan lagi nama Hotel Paya Bunga sebagai penginapan terbaik yang menjadi pilihan pelancong apabila ke Terengganu,” katanya.
0 Comments