Sukma: Terengganu optimis rampas semula gelaran juara


 KUALA TERENGGANU: Kontinjen Terengganu optimis mampu merampas semula gelaran juara keseluruhan Sukan Malaysia (Sukma) 2024 di Sarawak pada 17 sehingga 24 Ogos nanti.

Ketua kontinjen Terengganu, Datuk Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak berkata, atlet negeri itu kini menjalani latihan fasa akhir dan berada pada prestasi terbaik bagi mencapai misi tersebut.

Menurutnya, antara jenis sukan dikenal pasti menjadi ‘lubuk’ pingat emas kontinjen Terengganu adalah berbasikal, pelayaran, judo dan petanque serta beberapa acara lain.

“Agak menyedihkan apabila kontinjen Terengganu sudah kehilangan lapan pingat emas daripada sukan kayak yang dimenangi dua tahun lalu tetapi tidak dipertandingkan kali ini.

“Namun sukan boling padang, olahraga, tenis dan sepak takraw boleh ‘menggantikan’ kehilangan itu dengan sasaran dua atau tiga pingat emas dari setiap acara selain kabadi serta silambam.

“Ditambah dengan mempertahankan 14 pingat emas daripada sukan berbasikal dan 10 daripada kem pelayaran, saya optimis Terengganu di landasan tepat untuk muncul juara Sukma 2024,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Kejohanan Boling 3 Penjuru – Terengganu Inc bersama Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu dan Kelab Wartawan Media Terengganu (Kawat) di sini, semalam.

Post a Comment

0 Comments