Habuan bakal menanti atlet SUKMA Terengganu


 KUALA TERENGGANU: Habuan bakal menanti atlet Sukan Malaysia (SUKMA) Terengganu jika berjaya merampas kembali gelaran juara keseluruhan di temasya itu Ogos ini.

Ketua kontinjen SUKMA Terengganu, Datuk Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak berkata, insentif yang bakal diberikan itu adalah sebagai pembakar semangat buat atlet dalam misi muncul 'kuasa besar' pada temasya edisi ke-21 di Sarawak nanti.

"Kita juga mahu melihat pencapaian atlet muda kita ke peringkat yang lebih tinggi lagi sebagaimana atlet berbasikal, Datuk Azizulhasni Awang selain Nur Aisyah Zubir yang bakal membuat penampilan pertama di Sukan Olimpik Paris.

"Lagipun atlet kita kini berada pada landasan terbaik untuk mengulangi pencapaian muncul juara (keseluruhan) sebelum ini, namun ianya bergantung kepada kewangan kerajaan negeri," katanya ketika ditemui, malam tadi.

Bagi edisi di Sarawak yang dijadual bermula dari 17 hingga 24 Ogos itu, kontinjen Terengganu menyasarkan 75 pingat emas berbanding memperoleh 64 pingat emas, 49 perak dan 55 gangsa pada edisi ke-20 lalu.

Terengganu bakal bertandang ke Sarawak dengan penyertaan kontinjen seramai 1,076 orang merangkumi atlet, pengurus dan jurulatih yang akan menyertai 36 daripada 37 jenis sukan dipertandingkan.

Post a Comment

0 Comments